Kejohanan 7s Asia: Indra Putra, Manaf Mamat, Razman Roslan Barisi Skuad Malaysia
October 8, 2024 Hafizuddin Omar

Hasrat bekas pemain skuad kebangsaan Filipina, Stephan Schrock untuk beraksi menentang penjaring terbanyak Piala AFF 2010 iaitu Safee Sali dalam Kejohanan 7-Sebelah Asia pada 10hb-13hb Oktober di EV Arena, Elmina tidak kesampaian.

Ini berikutan skuad Malaysia bimbingan Sulaiman Hussin yang akan menyertai saingan tersebut tidak membariskan nama bekas penyerang berusia 40 tahun terbabit.

Sebaliknya skuad Malaysia akan diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain skuad kebangsaan yang lain seperti Indra Putra Mahayuddin, Abdul Manaf Mamat dan Razman Roslan selaku kapten.

Antara nama lain yang turut terpilih untuk menyertai skuad Malaysia iailah Fazli Zulkifli, Adib Aizuddin, Amer Saidin, Abdul Latiff Suhaimi, Fandi Othman, Kisshaen Ananthan, Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman, Ahmad Azriddin Rosli, Faiz Mazlan, Ahmad Azim Mohammad, Navin Das Arokiadass dan Rafie Mat Yaacob.

Baca – Kejohanan 7s Asia: Stephan Schrock Harap Dapat Berentap Menentang Safee Sali

Sementara itu, dua penjaga gol yang disenaraikan oleh Sulaiman ialah Muhammad Nor Haziq Mohd Haris dan Izzat Abd Rahim.

Pengurus skuad Malaysia, Shahrizin Shaharudin menjelaskan pemain-pemain ini dipilih oleh Sulaiman selepas mengadakan beberapa sesi latihan percubaan sepanjang tiga minggu lepas.

Untuk makluman, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B bersama-sama India, Filipina dan Hong Kong dalam majlis undian yang berlangsung pada 11hb September lalu.

Malaysia akan membuka saingan dengan menentang India pada jam 6 petang diikuti dengan Filipina selang empat kemudian pada 10hb Oktober. Pada hari berikutnya, Malaysia akan turut menentang Hong Kong pada jam 4.30 petang untuk aksi terakhir peringkat Kumpulan B.

Komen