Kejohanan 7s Asia: Stephan Schrock Sedih Safee Sali Tidak Sertai Skuad Malaysia
October 10, 2024 Hafizuddin Omar

Sedikit nada kesedihan dan kekecewaan terbit daripada bekas kapten skuad kebangsaan Filipina, Stephan Schrock apabila Safee Sali tidak membarisi skuad Malaysia di Kejohanan 7s Asia yang akan berlangsung di EV Arena, Elmina bermula 10hb hingga 13hb Oktober.

Sebelum ini, pemain kelahiran Jerman yang merekodkan 60 penampilan bersama skuad berjulukan The Azkals mengharapkan dapat beraksi menentang Safee dalam kejohanan bola sepak tujuh sebelah ini sepertimana di zaman kedua-duanya bermain di pentas antarabangsa sepanjang dekad lalu.

Namun begitu, ketiadaan Safee tidak membuatkan Stephan memandang sebelah mata akan skuad Malaysia. Sebaliknya, bekas pemain tengah berusia 38 tahun itu melabelkan Malaysia sebagai salah satu pasukan pilihan lebih-lebih lagi ianya dibarisi oleh Indra Putra, Manaf Mamat dan Razman Roslan.

Baca – Kejohanan 7s Asia: Stephan Schrock Harap Dapat Berentap Menentang Safee Sali

“Sangat sedih dia (Safee) tidak berada di sini, bagaimanapun, Malaysia dibarisi dengan bekas pemain-pemain Liga Super dan bekas pemain-pemain skuad kebangsaan,”

“Saya rasa (skuad) Malaysia menjadi salah satu pasukan pilihan dalam kejohanan ini,  kami akan menentang mereka pada perlawanan kedua (peringkat Kumpulan B) pada hari pembukaan esok (Khamis),” katanya ketika ditemui semasa Sidang Media & Hari Media Kejohanan 7s Asia.

Sementara itu, mengulas mengenai pasukan Filipina dalam Kejohanan 7s Asia ini, Stephan memaklumkan mereka turut diperkuatkan dengan kehadiran seorang lagi bekas pemain skuad kebangsaan Filipina yang pernah beraksi bersama Perak FC iaitu Misagh Bahadoran.

Manakala pemain-pemain lain terdiri daripada campuran pemain bola sepak 11 sebelah yang beraksi dalam kancah Liga Bola Sepak Filipina (PFL) dan pemain-pemain daripada liga bola sepak profesional 7 sebelah Filipina yang dipilih menerusi sesi percubaan yang dijalankan sejak empat minggu lepas.

Stephan dan rakan sepasukannya mengharapkan dapat memacu Filipina semampu yang mungkin untuk mara ke perlawanan akhir bagi kejohanan ini.

Untuk makluman, Filipina akan turun menentang Malaysia bimbingan Sulaiman Hussin pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan B dengan sepak mula pada jam 10 malam.

Komen