Stadium Hoki Nasional Terima 26 Tempahan Konsert Tahun 2025 – Hannah Yeoh
November 5, 2024 Hafizuddin Omar

Sebanyak 26 tempahan telah diterima oleh Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bagi dijadikan venue konsert pada tahun 2025, demikian perkongsian daripada Menteri Belia dan Sukan iaitu YB Hannah Yeoh.

Antara konsert yang bakal dilangsungkan di Stadium Hoki Nasional dalam masa terdekat pada tahun hadapan adalah persembahan daripada Maroon 5 dan Green Day.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Hannah yang juga merupakan Ahli Parlimen Segambut ketika menjawab persoalan daripada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga bagi Parlimen Ke-15, pada hari ini.

Jelas Hannah lagi, sebelum ini Stadium Hoki Nasional hanya tertumpu penggunaannya bagi pertandingan dan latihan sukan hoki sahaja.

Baca: Lebih Banyak Konsert Di Stadium Hoki Nasional – Hannah Yeoh

Namun begitu, ianya menjadi salah satu venue yang boleh dipilih bagi penganjuran konsert sekaligus meningkatkan jumlah konsert yang diadakan.

Sebagai rekod, Stadium Hoki Nasional julung kalinya menjadi venue bagi konsert menerusi acara Showcase Jiwa Kacay 2024 yang berlangsung pada 23hb Jun lalu.

Dimaklumkan, sebanyak lima acara bukan sukan termasuk konsert telah dilangsungkan di Stadium Hoki Nasional sepanjang tahun ini sehingga Oktober 2024 yang memberikan kutipan hasil sebanyak RM210,2000 kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) – agensi yang menguruskan dan menyelenggara Kuala Lumpur Sports City (KLSC) yang turut merangkumi Stadium Nasional dan Axiata Arena.

Sementara itu, bagi penganjuran acara sukan, Stadium Hoki Nasional mengutip hasil sebanyak RM75,000.

Komen