Liga Thai 1 Tambah Kuota Pemain Import Bermula Musim 2025-26
November 20, 2024 Hafizuddin Omar

Saingan tertinggi bola sepak domestik bagi negara jiran tetangga iaitu Liga Thai 1 mengumumkan perubahan terhadap peraturan kuota pemain importnya bagi musim 2025-26.

Mesyuarat yang berlangsung pada Selasa sebulat suara membenarkan kelab-kelab untuk mendaftarkan maksimum tujuh pemain import dari mana-mana negara dan tanpa had untuk pemain-pemain dari negara ASEAN. 

Bagaimanapun, pada hari perlawanan, Liga Thai akan menggunakan peraturan pemain import 5+2 iaitu lima pemain import bebas dan dua pemain import ASEAN sahaja.

Peraturan penggunaan lima pemain import bebas di atas padang itu diambil daripada model saingan bola sepak domestik Jepun iaitu J.League. 

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Nualphan Lamsam bersama Presiden Liga Thai 1, Thanawat Nittikajjana, 16 wakil kelab serta pemegang taruh pada Selasa.

Baca: MFL Benar Daftar 12 Pemain Import

Nualphan atau lebih dikenali sebagai Madam Pang menjelaskan penambahan pemain import adalah bertujuan menyelarikan Liga Thai dengan trend bola sepak global, menjadikan pertandingan lebih mengujakan dan menyeronokkan termasuk meningkatkan kualiti untuk bersaing dengan liga-liga terbaik di asia. 

Difahamkan, ini termasuk bagi memastikan kelab-kelab Liga Thai 1 yang beraksi dalam pertandingan antarabangsa kelolaan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) seperti Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) yang tidak mempunyai had pemain import beraksi dengan lebih baik sekaligus memungkin mereka mendapat pertambahan slot ke saingan tersebut pada masa akan datang.

Sebelum ini, Liga Thai 1 membenarkan pendaftaran lima pemain import dari mana-mana negara, satu pemain import dari rantau asia dan pemain-pemain negara ASEAN tanpa had.

Namun, dalam kesebelasan utama, setiap tertakluk kepada peraturan 3+1+3 iaitu tiga pemain import bebas, satu pemain import asia dan tiga pemain import ASEAN.

Sebagai perbandingan, saingan Liga Malaysia membenarkan kelab-kelab yang beraksi di ACLE, ACL2 dan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee untuk mendaftarkan maksimum 12 pemain import manakala kelab-kelab lain hanya sepuluh orang sahaja.

Bagi kesebelasan utama pula, setiap kelab tertakluk kepada peraturan 6+1 iaitu enam bermula dalam kesebelan utama (4 bebas, 1 asia & 1 ASEAN) dan seorang di bangku simpanan.

Featured Image: Thai League

Komen