MFL Benar Daftar 12 Pemain Import
September 18, 2024 Hafizuddin Omar

Empat buah kelab Liga Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC kini dibenarkan untuk mendaftarkan maksimum 12 pemain import.

Perkembangan itu hadir susulan pengelola liga domestik, Malaysian Football League (MFL) membuat pindaan terhadap Manual Liga Malaysia 2024-2025 melibatkan pendaftaran pemain.

Perkara tersebut diumumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini selepas mendapat persetujuan bersama majoriti Rakan Kongsi Liga serta kelulusan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL.

Berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh JDT mengikut Perkara 3 Manual Liga Malaysia 2024-25 serta persetujuan pemegang taruh MFL, pindaan itu menyaksikan empat kelab yang dinyatakan di atas dinaikkan kuota untuk mendaftarkan pemain import daripada 10 kepada 12 orang.

Penambahan kuota pemain import ini memberi peluang kepada kelab-kelab berkenaan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee 2024-2025 dengan lebih kompetitif.

Baca: Liga Pro Saudi 2024-25 Benar Daftar 10 Pemain Import

Baca: Tiada Had Guna Pemain Import Dalam ACL2 – CEO Selangor FC

Ini berikutan keputusan terbaharu AFC yang memperkenalkan peraturan pendaftaran pemain import tanpa had di dalam pertandingan-pertandingan anjurannya bermula musim ini.

Bagaimanapun, MFL mengatakan tambahan kuota pemain import ini tidak akan menjejaskan peluang pemain-pemain tempatan untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Ini kerana tambahan kuota dua pemain import itu hanya dibenarkan beraksi dalam saingan Piala MFL – saingan liga untuk pemain-pemain bawah 23 (B-23) sahaja.

Baca: Tanggung 4 Skuad Pelapis Bukan Punca Utama Masalah Kewangan Kelab Liga Malaysia – CEO MFL

Selain itu, penyenaraian pemain import dalam “Team List” untuk saingan Liga Malaysia 2024-25 (Liga Super, Piala Malaysia dan Challenge Cup) juga masih kekal iaitu tujuh orang ( enam bermula dalam kesebelasan utama dan satu di bangku simpanan). 

Sementara itu, proses naik dan turun pemain Piala MFL 2024-25, peraturan 5 pemain tempatan melebihi 23 tahun dan maksimum tiga pemain import dan maksimum dua pemain import di atas padang dalam “Team List” juga kekal.

Tambah MFL lagi, kuota pendaftaran pemain import kelab-kelab yang tidak beraksi dalam pertandingan antarabangsa seperti dinyatakan di atas kekal seramai sembilan orang sahaja sepertimana peraturan sedia ada.

Komen