CEO KDA FC: Nafuzi Zain Letak Jawatan, Victor Andrag Jurulatih ‘Interim’
November 25, 2024 Hafizuddin Omar

Pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 bagi kategori Jurulatih Terbaik iaitu Nafuzi Zain kini tidak lagi bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Difahamkan jurulatih kelahiran Kelantan berusia 46 tahun terbabit telah memohon untuk meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih bagi skuad berjulukan Sang Kenari terbabit.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Shahrul Samsudin memaklumkan permohonan tersebut telah diterima oleh pemilik, ahli lembaga pengarah serta pihak pengurusan dengan penuh rasa berat hati setelah diperhalusi dengan sedalam-dalamnya. 

“Kedah Darul Aman FC ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas khidmat bakti beliau selama ini serta mendoakan beliau sukses selalu dalam perjalanan karier beliau selepas ini.” kata Shahrul sepertimana kenyataan yang disiarkan oleh KDA FC pada Ahad.

View this post on Instagram

A post shared by Kedah Darul Aman Football Club (@kedahdarulamanfc)

Baca: Penolong Ketua Jurulatih Liga Super Wajib Ada Lesen Pro Diploma AFC – PJBM

Perletakan jawatan ini hadir setelah Nafuzi membimbing KDA FC mengharungi 14 perlawanan Liga Super, tiga aksi Piala FA dan satu perlawanan Piala Malaysia pada musim ini.

Pada musim lalu, Nafuzi telah mengemudi KDA FC menamatkan saingan Liga Super di tempat keempat serta mara ke peringkat separuh akhir Piala FA – tahun pertamanya mengemudi KDA FC.

Sementara itu, Shahrul mengumumkan kekosongan yang ditinggalkan oleh Nafuzi itu akan digalas oleh bekas kapten yang membawa Kedah muncul juara “double treble” merangkap penolong ketua jurulatih, Victor Andrag secara “interim” atau sementara.

Untuk makluman semua, Victor merupakan jurulatih yang baru sahaja disahkan lulus dan memiliki lesen kejurulatihan Diploma Pro AFC – lesen yang wajib dimiliki oleh mana-mana individu atau setaraf dengannya untuk menjawat jawatan ketua jurulatih kelab Liga Super – pada November tahun lalu. 

“Pihak pengurusan akan menilai serta membuat keputusan dari masa ke masa mengenai calon Ketua Jurulatih pasukan yang tetap berikutnya mengikut keperluan pasukan untuk bersaing dalam baki kancah Liga Malaysia 2024-25.” tambah Shahrul lagi.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

Komen