Alto Linus, Martin Stano Ketuai Barisan Kejurulatihan Sabah FC
November 25, 2024 Hafizuddin Omar

Sabah FC memutuskan mengekalkan barisan kejurulatihan sedia ada bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Ong Kim Swee berikutan tidak menyambung kontrak yang tamat pada penghujung November. 

Difahamkan, barisan kejurulatihan tersebut akan diketuai Ketua Jurulatih Sabah FC II, Alto Linus dan jurulatih kecergasan, Martin Stano.

Pengurus pasukan, Rafie Robert berkata, pihak pengurusan serta Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sebulat suara bersetuju terhadap cadangan berkenaan.

“Kita yakin pemain sedia ada memang sudah serasi dengan corak pendekatan diterapkan kejurulatihan Kim Swee sekali gus berusaha mengekalkan momentum yang diperkenalkan sejak sekian lama.

“Apa yang penting ketika ini, semua pemain perlu bersiap sedia untuk mengalas tugas dengan memastikan sasaran ditetapkan pihak pengurusan dapat direalisasikan kelak,” katanya selepas perlawanan menentang PT Athletic FC, baru-baru ini. 

Martin Stano (kanan)

Baca: Ong Kim Swee Tinggalkan Sabah FC Selepas Aksi Menentang PT Athletic FC

Rafie menambah, pihaknya tidak ingin menganggu apa yang diterapkan selama ini kerana jika diubah ia sudah tentu memakan masa untuk diterapkan oleh semua pemain.

“Kita mahu semua pihak termasuk pemain perlu menjalani proses latihan seperti biasa, fokus serta mampu mengekalkan momentum kemenangan.

“Kita tidak mahu mereka akan terjejas dengan perubahan drastik yang dilakukan sekiranya memerlukan seorang jurulatih dalam tempoh terdekat,” tambahnya.

Untuk makluman semua, Alto yang sebelum ini beraksi bersama Sabah sebagai pemain dari tahun 2014 hingga 2022 mempunyai lesen kejurulatihan Diploma ‘A’ AFC – lulus pada Mac lalu.

Aksi timbal balik menentang PT Athletic FC bagi pusingan 16 Piala Malaysia pada 27hb November di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras akan menjadi tugasan pertama Alto bersama-sama Martin.

Sementara itu, mengulas mengenai pemergian Kim Swee, Robert mengakui terasa kehilangannya termasuk dalam kalangan pihak pengurusan Sabah FC.

“Tetapi, kita tidak seharusnya terhenti begitu sahaja, malah terus berusaha dengan pihak kejurulatihan sedia ada untuk meneruskan sesi latihan untuk menghadapi perlawanan Piala Malaysia serta Liga Super nanti,” ujar Rafie lagi. 

Featured Image: Sabah FC

Komen