Menggalas tugas sebagai pengendali sementara Sabah FC merupakan tugas yang sangat mencabar apatah lagi untuk mengekalkan prestasi sedia ada.
Itu yang dikongsikan oleh Alto Linus selepas diberikan peranan untuk menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang meninggalkan kelab ketika Sabah FC berada di kemuncak prestasinya dan pada tahap tertingginya.
Ianya merupakan satu cabaran besar perlu dihadapinya namun jurulatih berusia 38 tahun ini yakin akan kemampuan dan tahap profesionalisme para pemain untuk memastikan prestasi terbaik skuad berjulukan Sang Badak itu dapat dikekalkan.
“Bagi saya secara peribadi ini bukan tugas mudah berada di sini untuk menggantikan Ong Kim Swee termasuk mengekalkan corak yang diterapkannya kepada semua pemain.
“Tetapi saya akan cuba lakukan yang terbaik kerana saya sendiri pun dididik oleh Kim Swee sekaligus ia bukan masalah besar untuk mengekalkan prestasi jika semua pihak memberikan kerjasama dengan sebaiknya,” katanya.
Baca: Ong Kim Swee Bimbing Kelab Indonesia, Persis Solo Sehingga Tamat Musim 2024-25
“Apa yang boleh saya katakan di sini, agar semua pihak memberikan sokongan berterusan seperti mana mereka memberikan sokongan kepada Kim Swee sebelum ini,” tambah Alto.
“Kita yakin pemain sedia ada sememangnya sudah serasi dengan corak pendekatan diterapkan Kim Swee sekaligus berusaha mengekalkan momentum yang diperkenalkan sejak sekian lama.
“Apa yang penting ketika ini, semua pemain perlu bersiap sedia untuk mengalas tugas dengan memastikan sasaran ditetapkan pengurusan dapat direalisasikan,” ujar Alto lagi.
Untuk makluman, Sabah FC memutuskan untuk mengekalkan barisan kejurulatihan sedia disamping menamakan Alto selaku ketua jurulatih sementara bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Kim Swee yang tidak melanjutkan kontaknya.
Keputusan itu diambil selepas dipersetujui pengurusan serta Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) secara tidak langsung memudahkan barisan kejurulatihan meneruskan corak latihan serta taktikal sebelum ini.