Chen Long, Lee Yong Dae Disenaraikan Dalam Dewan Kemasyhuran BWF
Hafiz Omar

Bekas pemain badminton berstatus legenda, Chen Long dan Lee Yong Dae dari China dan Korea masing-masing menjadi dua nama baharu yang akan disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran (Hall Of Fame) BWF.
Pemilihan bekas pemain yang berusia 35 dan 36 tahun masing-masing itu diumumkan oleh badan induk badminton dunia menerusi satu kenyataan rasmi, pada hari ini.
Dimaklumkan, nama Chen Long dan Yong Dae akan diabadikan secara rasmi ke dalam Dewan Kemasyhuran tersebut semasa Majlis Makan Malam Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 pada 9hb Disember kelak.
Baca: Lee Chong Wei Muncul Pemain Ke-6 Negara Sertai Dewan Kemasyhuran BWF
Chen Long, yang merupakan salah satu seteru rapat legenda badminton tanah air, Datuk Wira Lee Chong Wei merupakan pemenang pingat gangsa, perak dan emas bagi Sukan Olimpik edisi 2012, 2020 dan 2016 masing-masing.
Selain itu, sepanjang karier seniornya dari tahun 2007 hingga 2021, Chen Long turut bergelar juara Kejohanan Dunia sebanyak dua kali berturut-turut iaitu pada tahun 2014 dan 2015 serta merangkul 22 gelaran juara Superseries/Jelajah Dunia.
Sementara itu, Yong Dae, pemain beregu berbakat yang mengumumkan persaraan pada September 2016 sebelum beraksi semula pada Ogos 2018 diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran BWF diiringi dengan 46 gelaran juara Superseries/Jelajah Dunia dan sebutir pingat emas Sukan Olimpik dimenanginya pada usia 19 tahun.