Benjamin Mora Pengendali Baharu Kelab Liga Mexico

December 9, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Individu yang membimbing Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai empat gelaran Liga Super, empat trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, satu Piala Malaysia dan mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC (ACL), Benjamin Mora nampaknya tidak akan menyertai barisan kejurulatihan baharu skuad bola sepak kebangsaan.

Perkembangan ini hadir susulan jurulatih kelahiran Mexico yang berusia 45 tahun terbabit telah mendapat kerja baharu iaitu sebagai pengendali bagi Queretaro FC yang beraksi dalam kancah bola sepak negara kelahirannya, Liga MX.

Pengumuman perlantikannya itu diumumkan secara rasmi oleh kelab berjulukan Los Gallos Blancos menerusi satu video berdurasi 25 saat yang dikongsikan di pelbagai platform media sosial kelab berkenaan pada Ahad.

Pengumuman itu hadir kira-kira sebulan selepas Mora berpisah dengan majikan lamanya, York United FC yang beraksi dalam kancah Liga Premier Kanada.

Bersama kelab baharu, Mora yang dijangka berhadapan dengan cabaran besar memandangkan Queretaro FC menamatkan saingan Liga MX Apertura 2024 di tangga kedua tercorot iaitu tangga ke-17.

Khidmat dan kepakaran Mora sudah tentu diikat oleh Queretaro FC untuk meletakkan mereka dalam posisi yang lebih baik dan bermaruah dalam baki saingan musim 2024-25 khususnya dalam saingan Liga MX Clausura 2025.

Baca: FAM Akan Lantik Pengendali Baharu, Khidmat Pau Marti Berakhir Selepas Piala ASEAN

Terdahulu, nama Mora yang berkhidmat bersama gergasi bola sepak tanah air yang berjulukan Harimau Selatan sejak 2016 tular di media sosial dikaitkan untuk mengemudi skuad Harimau Malaya yang akan dilakukan penstrukturan semula dan baharu dalam masa terdekat.

Selain namanya, seorang lagi bekas ketua jurulatih JDT iaitu Esteban Solari turut dikaitkan.

Featured Image: Queretaro FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd