
Peter Cklamovski kelahiran Australia yang diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu bagi skuad bola sepak kebangsaan pada hari ini meletakkan dua sasaran utama ingin dicapainya bersama skuad berjulukan Harimau Malaya.
Menerusi kenyataan media yang disiarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekitar tengah hari tadi, jurulatih berusia 46 tahun terbabit menyatakan ingin membawa Harimau Malaya menjuarai saingan Kumpulan F pada Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027 Arab Saudi.
Kejuaraan peringkat kumpulan tersebut akan memberikan tiket buat skuad Harimau Malaya ke saingan Piala Asia buat dua kali berturut-turut selepas mara pada edisi sebelumnya, Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lalu.
Kelayakan Piala Asia 2027: Malaysia Diundi Bersama Vietnam Yang ‘Sakit’, Nepal & Laos
Satu lagi sasaran atau misi yang digariskan oleh bekas jurulatih beberapa kelab dalam saingan bola sepak Jepun ini adalah membawa Malaysia menuju ke kelompok 100 pasukan terbaik dalam Ranking Dunia FIFA.
Untuk pengetahuan semua, pada ketika ini, Malaysia sedang menghuni ranking ke-132 dunia dan merupakan pasukan keempat terbaik di rantau asia tenggara selepas Thailand (97), Vietnam (116) dan Indonesia (125).
Dalam kenyataan yang sama, FAM memaklumkan Peter yang pernah bekerja di bawah pengurus Tottenham Hotspur pada saat ini, Ange Postecoglou akan memulakan tugasnya secara rasmi bersama badan induk bola sepak kebangsaan pada 1hb Januari 2025.

Featured Image: FC Tokyo