Bekas Pemain Selangor Dedah Mark Milligan Sertai Barisan Kejurulatihan Baharu Harimau Malaya
January 6, 2025 Hafizuddin Omar

Bekas pertahanan yang pernah beraksi dalam kancah Piala Dunia FIFA, Mark Milligan bakal menjadi individu terbaru yang akan menyertai barisan kejurulatihan baharu skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya.

Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh bekas pemain import yang pernah beraksi bersama Selangor FC dan Perak FC yang juga pernah beraksi bersama skuad senior kebangsaan Australia iaitu Robert Cornthwaite.

“Bekas penolong jurulatih Adelaide United FC, Mark Milligan akan ke Malaysia, menyertai staf kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (bimbingan) Peter Cklamovski dari Australia.” tulisnya menerusi akaun media sosial, X (dahulu dikenali sebagai Twitter) peribadinya.

Sebelum itu, Adelaide United sendiri turut mengesahkan Milligan atau lebih mesra dengan panggilan Millsy meninggalkan kelab berjulukan The Reds terbabit berkuat kuasa serta-merta pada pagi Ahad.

Bagaimanapun, kelabnya hanya memaklumkan Millsy meninggalkan mereka untuk menerima tawaran di luar negara tanpa mendedahkan secara terperinci mengenai destinasi berikutnya.

Baca: Peter Cklamovski Sasar Juara Kumpulan F, Duduk Kelompok 100 Terbaik Dunia – Mula Tugas 1 Januari 2025

Menurut Adelaide United, Millsy mula dilantik sebagai penolong jurulatih mereka pada Jun 2022 – menyertai barisan kejurulatihan yang diketuai Carl Veart – melepaskan jawatan ketua jurulatih yang disandangnya di kelab semi profesional iaitu St George FC.

Sebagai rekod, Milligan menggantung butnya pada penghujung Jun 2021 selepas tamatnya saingan Liga-A musim 2020-21 menoktahkan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional sekitar dua dekad lamanya.

Bersama skuad kebangsaan Australia berjulukan Socceroos, Milligan yang turut berperanan sebagai kapten pasukan telah tampil sebanyak 80 kali dalam perlbagai pertandingan termasuk di pentas Piala Asia AFC dan Piala Dunia FIFA.

Featured Image: Adelaide United FC

Komen