2,000 Unit Kerusi SSA Diserah Percuma Kepada ‘Home’ Kerteh FC
Hafiz Omar

Ketika Stadium Shah Alam (SSA) mula dirobohkan pada Julai tahun lalu, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) merancang untuk menawarkan kerusi-kerusi stadium berkenaan yang dalam keadaan elok secara percuma kepada stadium mini dan astaka-astaka daerah.
Perancangan itu nampaknya bertukar menjadi kenyataan dan sebuah kelab amatur yang berpangkalan di negeri Terengganu iaitu Kerteh FC menjadi antara penerima manfaatnya.
Menerusi satu perkongsian, pihak Kerteh FC memaklumkan menerima 2,000 unit kerusi daripada SSA terbabit dan ianya sedang dipasang pada “grandstand” gelanggang rasminya, Stadium Mini Kerteh atau turut dijuluki sebagai Kerteh Sports City.
Baca: Kerusi Stadium Shah Alam Akan Ditawarkan Kepada Stadium & Astaka Daerah Secara Percuma
“Pemasangan kerusi penonton di Kerteh Sports City menandakan usaha kami dalam meningkatkan kemudahan sukan di Kerteh.”
“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) atas sumbangan 2,000 kerusi daripada Stadium Shah Alam.”
“Sokongan ini amat bermakna dalam usaha menyediakan pengalaman yang lebih selesa dan berkualiti kepada penyokong kami di Kerteh.” tulis kenyataan rasmi kelab berjulukan The Oilers.
Semoga kerusi ini menjadi keselesaan kepada penyokong. 💪🏼💪🏼#FASelangorMy https://t.co/dnBPqOJqT0
— FA Selangor (@FASelangorMY) February 13, 2025
Bercerita mengenai proses pemasangan kerusi-kerusi terbabit, Kerteh FC memaklumkan sebanyak 400 unit kerusi akan dipasang di bahagian “grandstand” bagi fasa permulaan.
Selebihnya akan dipasang secara berperingkat bergantung kepada kemampuan kelab. Bukan itu sahaja, kerusi-kerusi ikonik daripada SSA tersebut akan dilakukan proses “refurbished” selepas siap proses pemasangan kelak.
KEMASKINI: Sekitar jam 10.20AM tadi, kolum terakhir Stadium Shah Alam telah diturunkan. Tiada lagi struktur asal stadium yang masih berdiri.#KompleksSukanShahAlam#RumahBaruKita pic.twitter.com/GiO1htA0ZQ
— Kompleks Sukan Shah Alam (@StadiumShahAlam) January 27, 2025
Sementara itu, SSA berkapasiti 80,000 yang ramai kita kenali telah pun tiada di atas muka bumi ini selepas kolum terakhir stadium berkenaan selesai dirobohkan – tiada lagi struktur asal stadium yang masih berdiri – sekitar penghujung Januari lalu.
Selesainya proses perobohan terbabit menandakan bakal bermulanya fasa pembinaan Stadium Shah Alam yang baharu berkapasiti dari 35,000 hingga 45,000 tempat duduk selain disertakan ciri-ciri seperti padang boleh ubah alih (retractable pitch), lapisan seramik ETFE pada bumbung, sistem penyejukan tempat duduk, menggunakan rumput jenis bilah halus dan lain-lain lagi.
Featured Image: Kerteh Sports City