Gelanggang Futsal, Bola Sepak Pantai Bakal Dibina Di Kompleks Sukan Negeri Terengganu
February 28, 2025 Hafizuddin Omar

Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) yang menempatkan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Stadium Tertutup, Padang Latihan Terengganu FC dan pelbagai kemudahan sukan lain lagi akan menerima tambahan gelanggang bagi dua buah jenis sukan.

Penambahan terbabit adalah sebuah gelanggang futsal dan gelanggang bola sepak pantai sekaligus bakal merancakkan lagi perkembangan dan kemeriahan sukan terbabit di situ.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), YB Hishamuddin Abdul Karim.

View this post on Instagram

A post shared by Hishamuddin Abdul Karim (@hishamuddin_ak)

“Memandangkan mutakhir ini, sukan futsal di (Negeri) Terengganu kurang rancak ekoran kekurangan gelanggang dan kekurangan pertandingan di pelbagai peringkat. Tentunya, ia memberikan kesan kepada pembangunan sukan futsal di peringkat akar umbi.” 

“Pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memandang serius perkara ini. Alhamdulillah, dengan kerjasama pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), kami berhasrat untuk menggerakkan usaha pembinaan sebuah gelanggang futsal untuk ditempatkan di dalam kawasan Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) dalam tempoh terdekat.” kongsinya menerusi hantaran di pelbagai platform media sosialnya.

Ketika ini, pihaknya sedang meninjau dan meneliti beberapa model gelanggang futsal dalam negara sebelum memulakan pembinaan.

Antara yang telah Hishamuddin dan pihak MSNT melakukan tinjauan adalah gelanggang futsal milik pemain bola sepak skuad kebangsaan, Sergio Aguero bersama pengurusnya, Lucas Casco, Sergioe Aguero Arena, bertempat di Semambu, Kuantan, Pahang.

Pada masa yang sama, Hishamuddin turut memaklumkan sebuah gelanggang bola sepak pantai akan turut disediakan di KSNT dan dijangka siap pada Mac 2025.

Perkara tersebut dimaklumkan Hishamuddin ketika menjawab saranan daripada seorang pengguna Facebook yang menyatakan Negeri Terengganu perlu menumpukan perhatian kepada sukan bola sepak pantai – sukan yang turut didominasi oleh pemain-pemain negeri pantai timur itu terutamanya dalam skuad kebangsaan.

Belanjawan Terengganu 2025: Pembinaan Sebuah Bangunan Untuk Skuasy & Badminton Di KSNT

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada November tahun lalu, Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut mengumumkan kerajaan negeri akan membina sebuah bangunan skuasy dan badminton di KSNT.

Featured Image: Facebook Hishamuddin Abdul Karim

Komen