Kepimpinan Baharu FAM Jumpa PM Anwar, Kongsi Hala Tuju Bola Sepak Negara
March 4, 2025 Hafizuddin Omar

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub serta barisan kepimpinannya melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Isnin.

Kunjungan itu turut disertai oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh serta Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) merangkap mantan Presiden FAM, Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin. 

Dalam pertemuan itu, Joehari berkongsikan agenda terkini hala tuju bola sepak negara terutama bagi memperkasakan pembangunan peringkat remaja dan akar umbi. 

Tidak ketinggalan, Joehari yang dilantik sebagai Presiden FAM baharu bermula 15hb Februari lalu turut singgung perkembangan terkini persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25hb Mac nanti.

Anwar menerusi pelbagai platform media sosialnya turut mengucapkan selamat maju jaya buat barisan kepimpinan baharu FAM selepas daripada pertemuan terbabit.

“Semoga membawa perubahan signifikan kepada sukan bola sepak negara,” tulisnya.

Sebagai rekod, kerajaan persekutuan pimpinan Anwar telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta secara keseluruhan disalurkan kepada FAM untuk pembangunan sukan bola sepak khususnya skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.

Baca: RM30 Juta Buat Bola Sepak, PM Anwar Tuntut 4 Perkara

Separuh daripada peruntukan itu datangnya daripada pihak kerajaan manakala baki separuh lagi akan dibiayai oleh pihak swasta.

Antara kepimpinan FAM yang turut sama mengiringi Joehari melakukan kunjungan hormat ke atas Anwar adalah Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram; tiga Naib Presiden FAM, Datuk Seri Hj. Rosmadi Ismail, Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin dan Dato’ Dollah Salleh serta Exco FAM, Dato’ Zainal Abidin Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen