Masters Orleans: Bekas Pemain No.1 Dunia Halangan Zii Jia Ke Suku Akhir
Hafiz Omar

Perseorangan lelaki India yang pernah menghuni ranking No.1 dunia, Srikaanth Kidambi menjadi cabaran seterusnya buat Lee Zii Jia untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir Masters Orleans 2025.
Terdahulu, Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan berhasil memulakan kempen Masters Orleans ini dengan langkah kanan apabila menumpaskan pemain Chinese Taipei, Chi Yu-jen pada pusingan 32.
Akan tetapi, kemenangan itu tidak menjelma dengan mudah dimana Zii Jia terpaksa bertarung hampir satu jam lamanya di atas gelanggang sebelum menutup permainan dengan skor 7-21, 21-17 dan 21-17 bertempat di Palais des Sports Jean Ros.
Ini merupakan kemenangan sulung Zii Jia, pada tahun ini, selepas terpaksa berehat panjang ekoran mengalami kecederaan buku lalu kiri yang menimpanya ketika beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024.
Baca: Ng Ka Long Angus Pencabar Pertama Zii Jia Di All England 2025
Sementara itu, Kidambi, 32 tahun, melakar kemaraan ke pusingan 16 selepas berhasil menjinakkan pemain Jepun berusia 23 tahun, Koo Takahashi secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-14.
Untuk pengetahuan semua, Zii Jia dan Kidambi pernah bertembung sebanyak enam kali di pelbagai kejohanan antarabangsa kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejak 2021.
Berdasarkan rekod, Zii Jia dilihat mempunyai kelebihan serta keputusan yang positif apabila bertemu Kidambi dengan merekodkan empat kemenangan daripada enam pertemuan terbabit.
Bagaimanapun, pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua pemain di Terbuka Swiss 2024 berpihak kepada Kidambi dengan kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-15.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia