Gelanggang Pickleball Percuma Untuk Pelajar Sekolah Rendah Di KWC Fashion Mall
Hafiz Omar

Pelajar-pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan seluruh negara yang ingin mencuba atau bermain sukan pickleball secara percuma boleh bertandang ke Kenanga Wholesale City (KWC) Fashion Mall, Kuala Lumpur.
Pusat beli-belah tersebut baru sahaja membuka gelanggang pickleball berjumlah 16 buah kesemuanya bertempat di tingkat 15. Ianya berada di bawah seliaan E-Motion Sdn Bhd dan dinamakan sebagai Stadium Pickleball KWC.
Bersempena dengan perasmian Stadium Pickleball KWC itu, syarikat yang menyelia gelanggang berkenaan mengumumkan pelaksanaan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menawarkan latihan, penggunaan gelanggang dan alatan pickleball seperti padel dan bola secara percuma kepada semua pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan seluruh negara.


Baca: Alliance Bank Taja Kejohanan Terbuka KL 2025, Anjur Sidang Kemuncak Pickleball
Penggunaan percuma itu untuk setiap hari bekerja (Isnin – Jumaat) bermula dari jam 8 pagi hingga 4 petang.
Majlis perasmian Stadium Pickleball KWC tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.
Menurut Hannah, inisiatif ini selari dan menyokong usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam merancakkan pembudayaan sukan dan amalan gaya hidup cergas dan bertepatan dengan Visi Sukan Negara 2030.
KBS berharap lebih banyak lagi syarikat swasta dan pemegang taruh yang lain dapat tampil ke depan dalam melaksanakan CSR berkaitan sukan kerana pembangunan sukan negara merupakan tanggungjawab bersama dan memerlukan pendekatan “whole-of-nation”.

Featured Image: Facebook Hannah Yeoh