
Perkembangan salah satu sukan baharu di tanah air iaitu pickleball dijangka bertambah pesat serta kian popular dalam kalangan rakyat Malaysia apabila Alliance Bank tampil menceburi arena sukan ini.
Menerusi satu siaran media yang dikongsikan, Alliance Bank memaklumkan mereka menjadi bank pertama di Malaysia yang memperjuangkan sukan ini dengan mengadakan kerjasama strategik bersama Pickle Social Club (PSC) dan Courtsite.
Kerjasama itu menyaksikan Alliance Bank akan menjadi penaja utama bagi Kejohanan Pickleball Terbuka KL (KL Open Pickleball Championship) 2025 – dijadualkan berlangsung dari 25hb hingga 27hb April kelak bertempat di The Courts at KLGCC Resort.
Baca: Orang Ramai Boleh Tempah Gelanggang ABM Menerusi Courtsite
Acara bersejarah itu dijangka menarik lebih 600 pemain sekaligus menjadikannya sebagai salah satu kejohanan pickleball terbesar di negara ini.
Bersempena dengan kejohanan itu juga, Courtsite yang merupakan platform penempahan gelanggang pelbagai jenis sukan akan menganjurkan Sidang Kemuncak Pickleball (Pickleball Summit) 2025 dengan sokongan Persatuan Pickleball Malaysia.
Baca: Sports Direct Buka ‘Flagship Store’ Kedua – Turut Menyertakan Jualan Barangan Pickleball & Padel
Dimaklumkan, sidang ini akan mengumpulkan lebih 300 pemilik fasiliti pickleball, pelabur, pembekal dan pemegang taruh utama untuk membincangkan perkembangan pesat sukan pickleball di Malaysia, peluang pelaburan, perbincangan dengan panel-panel pakar mengenai pengembangan pusat sukan.
Tidak ketinggalan, sidang ini juga menawarkan para peserta peluang menjalin hubungan untuk membentuk kerjasama baharu serta pertumbuhan industri.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif, Alliance Bank akan memperkenalkan keistimewaan eksklusif untuk pemegang kad kreditnya seperti keutamaan tempahan gelanggang di PSC, insentif pulangan tunai khas untuk tempahan gelanggang yang dibuat melalui Courtsite serta baucar jenama sukan eksklusif untuk pemohon baharu kad kredit Alliance Bank.