Konsert JJ Lin Bakal Berlangsung Di SNBJ Pada 10 Mei – Sebulan Sebelum Malaysia vs Vietnam

March 24, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang berkapasiti 85,500 tempat duduk akan melangsungkan sebuah konsert yang melibatkan penyanyi mandopop dari Singapura, JJ Lin pada 10hb Mei hadapan.

Konsert di Kuala Lumpur pada tarikh berkenaan merupakan salah satu siri jelajah, JJ20 Final Lap, bersempena dengan ulang tahun dua dekad karier penyanyi berusia 43 tahun tersebut dalam dunia seni.

Ini merupakan kehadiran semula JJ Lin ke Kuala Lumpur selepas membuat persembahan dalam siri jelajah JJ20 World Tour di stadium yang sama pada Disember 2022 yang menarik kehadiran 30,000 pengunjung.

Siri konsert JJ20 World Tour bermula pada November 2022 di Singapura dan menerjah ke beberapa bandar seperti Las Vegas, Melbourne, Paris, Guangzhou, Jakarta, Yokohama dan banyak lagi sebelum menutup tirainya di Chongqing pada November 2024.

Selepas daripada itu, penganjur mengadakan pula siri lanjutan kepada konsert berkenaan dinamakan sebagai JJ20 Final Lap yang turut bermula di Singapura pada Disember 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil semasa dalam sidang media bersama pengamal media pada minggu lalu turut mengesahkan penganjuran konsert berkenaan pada bulan Mei tersebut.

Baca: PSM Tetapkan Kadar Parkir SNBJ RM5 Sahaja Ketika Acara Sukan & Konsert

Dimaklumkan, itu merupakan satu-satunya konsert yang telah disahkan akan berlangsung di SNBJ setakat ini bagi tahun 2025 selepas mengadakan konsert I Am Gloria World Tour persembahan oleh penyanyi Hong Kong, G.E.M. pada 15hb Februari lalu. 

Padang di SNBJ yang menggunakan rumput jenis zeon zoysia kini sedang berada dalam kondisi dan tahap terbaik. Tarikh penganjuran konsert itu hanya sebulan sebelum skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya bertemu Vietnam dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027. 

Namun begitu, Iliyas memberi jaminan bahawa moratorium yang menghalang sebarangan pemasangan struktur pentas melibatkan penyediaan konsert di atas rumput masih berjalan – struktur pentas hanya boleh dibina di atas trek sahaja.

Untuk rekod, PSM memaklumkan SNBJ mengutip hasil sebanyak RM1.89 juta dari Januari hingga Oktober 2024 hasil daripada penganjuran acara bukan sukan termasuk konsert-konsert.

Sebagai perbandingan, penganjuran acara sukan termasuk perlawanan bola sepak pula memberikan hasil sebanyak RM1.20 juta bagi tempoh yang sama.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd