
Penganjur bola sepak domestik, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan saingan bawah 23 tahun (B-23), Piala MFL dimansuhkan bagi musim hadapan, musim 2025-26.
Menurut satu kenyataan disiarkan pada hari ini, keputusan untuk memansuhkan Piala MFL dibuat menerusi perbincangan bersama Rakan Kongsi Liga yang terdiri daripada 13 Kelab Liga Super dalam pertemuan pada 19 Februari 2025.
Antara alasan kepada pemansuhan terbabit, “MFL mendapati pihak kelab menanggung perbelanjaan tinggi daripada segi pembayaran gaji pemain dan operasi logistik sehingga mencecah RM28 juta bagi kos yang ditanggung keseluruhan kelab Liga Super.”
Baca: Sertai Liga Singapura? Pelan B! – CEO Selangor FC
Selain itu, “MFL bersama Rakan Kongsi Liga juga bersetuju bahawa pada usia pemain 20 hingga 23 tahun adalah tempoh pemain muda sudah mula bersaing mendapatkan tempat dalam skuad utama berbanding bermain dalam pertandingan peringkat umur.”
Sebagai rekod, saingan Piala MFL ini mula dipertandingkan pada tahun 2023 dengan mendapat sokongan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di mana setiap kelab diwajibkan memiliki skuad Piala MFL bagi memenuhi salah satu kriteria dalam Pelesenan Kelab.
Pada musim lalu, Terengganu FC II bimbingan bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar muncul juara edisi sulung dan membawa pula ganjaran sebanyak RM500,000 selepas berhasil menundukkan Johor Darul Ta’zim II di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Biarpun ketiadaan Piala MFL pada musim akan datang, kejohanan pembangunan pemain masih berterusan dengan penganjuran Piala Presiden (bawah 20 tahun) dan Piala Belia (bawah 18 tahun).