Pek Suara MASDO Bakal Ditampilkan Dalam PUBG Mobile Versi 3.7

March 27, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

PUBG Mobile akan memperkenalkan pek suara (voicepack) MASDO, yang menampilkan suara Ali, Mawi dan Ceri dalam permainannya selepas mengumumkan kerjasama dengan Warner Music Malaysia.

Kerjasama itu menggabungkan bunyi vintaj tersendiri MASDO, kugiran (band) di bawah Warner Music Malaysia, dengan pengalaman yang mengasyikkan kemaskini PUBG Mobile versi 3.7 – meraikan ulang tahun ketujuh permainannya serta pelancaran peta terbesarnya, Rondo.

Kerjasama ini dilancarkan secara rasmi pada Isnin oleh Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Dinesh Ratnam serta Pengurus Produk (Malaysia) untuk PUBG Mobile, Adil Hisham bersama MASDO. 

Baca: FAM & Warner Music Bekerjasama Hasilkan Lagu Skuad Harimau Malaya

Sebelum ini, PUBG Mobile dan MASDO telah bekerjasama untuk menghasilkan lagu yang berjudul “Bertemu Kembali” bersempena dengan kejohanan PUBG Mobile Super League (PMSL) SEA Spring 2025 Grand Final di IOI Grand Exhibition Centre pada 14hb Mac lepas.

Acara yang berlangsung pada Isnin lalu turut menyaksikan lagu “Bertemu Kembali” yang mendapat lebih sejuta tontonan daripada pelbagai platform media sosial dan perkhidmatan penstriman muzik utama seperti Apple dan Spotify melancarkan video muzik rasminya bertemakan permainan PUBG Mobile.

Sebagai tambahan, lagu “Bertemu Kembali” akan ditambahkan pada PUBG Mobile secara kekal dan percuma untuk semua pemain.

Pada masa yang sama, ini bukanlah titik noktah kepada kerjasama melibatkan PUBG Mobile dan MASDO dimana MASDO telah menyatakan kesediaannya untuk menghasilkan lagu kedua buat PUBG Mobile. 

Ianya dijadualkan untuk dikeluarkan semasa sambutan Hari Kebangsaan pada Ogos 2025.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd