Aksi Malaysia Lawan Vietnam Berlangsung Di SNBJ

April 21, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Perlawanan kedua peringkat Kumpulan F bagi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 yang menemukan Malaysia dan Vietnam akan kembali berlangsung di ‘rumah’ asalnya, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Perkara tersebut disahkan sendiri menerusi satu perkongsian oleh akaun media sosial rasmi skuad kebangsaan, Malaysia NT di pelbagai platform media sosial pada hari ini.

Pertembungan melibatkan pasukan yang berada di tangga 131 dan 109 dunia masing-masing itu dijadualkan berlangsung pada 10hb Jun (Selasa) dengan sepak mula pada jam 9 malam.

“Kami teruja untuk menyambut kehadiran Vietnam ke Bukit Jalil pada 10 Jun bagi satu perlawanan yang dijangka penuh debaran dan emosi.

“Ini bukan sekadar aksi kelayakan,  ini adalah detik untuk rakyat Malaysia bersatu di belakang Harimau Malaya dan menunjukkan kekuatan semangat kebangsaan kita.”

Baca: Konsert JJ Lin Bakal Berlangsung Di SNBJ Pada 10 Mei – Sebulan Sebelum Malaysia vs Vietnam

“Kami sedang membina sesuatu yang istimewa. Kami tak sabar untuk melihat para penyokong memenuhi Bukit Jalil dan menjadikannya malam yang akan dikenang selamanya.” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Rob Friend.

Pada perlawanan pertama 25hb Mac yang lalu, Malaysia bimbingan Peter Cklamovski memulakan kempen pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Aksi itu berjaya dimenangi oleh Malaysia dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Hector Hevel dan Corbin-Ong.

Bagaimanapun, saingan Kumpulan F pada ketika ini diungguli oleh Vietnam setelah mencetak kemenangan bergaya 5-0 ke atas Laos pada aksi pertamanya, pada tarikh yang sama.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia bertemu Vietnam adalah pada penghujung 2022 dalam saingan Piala AFF (kini dikenali sebagai Piala ASEAN) dimana Malaysia tumpas dengan keputusan 0-3 di Stadium Nasional My Dinh.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd