Belanjawan 2026: PM Anwar Sertakan Peruntukan Naik Taraf Padang-Padang Sekolah KPM Seluruh Negara
Hafiz Omar

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan berjumlah RM580 juta bagi memperhebatkan pembangunan sukan negara.
Peruntukan itu diumumkannya ketika membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan “Belanjawan Madani Keempat: Belanjawan Rakyat” di Dewan Rakyat, pada hari ini.
Jumlah yang diperuntukkan itu untuk lima perkara iaitu permerkasaan sukan berprestasi tinggi yang merangkumi program Road To Gold, persediaan bagi temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 di Malaysia, pemerkasaan atlet para dan sukan orang pekak, penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan belia dan sukan seluruh negara serta naik taraf padang-padang sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seluruh negara.

Baca: SNBJ Kekal Guna Zeon Zoysia, Rumput Hibrid Dibawa Ke Stadium Mini MSN
Pada masa yang sama, Anwar turut memaklumkan pihak kerajaan bersetuju membenarkan organisasi yang diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) untuk menggunakan sebahagian daripada pendapatan diterima bagi menjalankan aktiviti sukan.
Sebagai perbandingan, Belanjawan 2025, memperuntukkan lebih RM230 juta untuk pembangunan sukan negara bagi menjalankan pelbagai program seperti Program Podium, Road To Gold, mempersiapkan atlet para menjelang sukan para dunia – Deaflympic Tokyo 2025.
Tidak dilupakan, peruntukan itu turut merangkumi kerja-kerja untuk menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara serta Geran Padanan Sukan (GPS).
Untuk pengetahuan, ketika di awal pengucapannya, Anwar berkongsikan jumlah perbelanjaan awam adalah sebanyak RM470 bilion bagi Belanjawan 2026 – meningkat sebanyak RM18 bilion berbanding Belanjawan 2025.
Ianya merangkumi perbelajaan sebanyak RM338.2 bilion (belanja mengurus), RM81 bilion (belanja pembangunan), RM30 bilion (pelaburan GLC), RM10 bilion (pelaburan awam-swasta) dan RM10.8 bilion (pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat MKD).