Tonton Piala Dunia Menerusi Aplikasi MyGOV

June 5, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Peminat-peminat bola sepak tanah air kini mempunyai satu lagi pilihan untuk menonton perlawanan-perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 iaitu menerusi aplikasi MyGOV.

Ini merupakan pilihan tambahan selain daripada menonton kejohanan itu menerusi saluran televisyen milik RTM, platform RTM Klik, saluran televisyen Unifi TV, aplikasi Unifi TV dan MYTV – penyedia perkhidmatan televisyen digital terestrial percuma. 

Perkembangan itu hadir selepas Kementerian Digital memaklumkan , MyGOV, aplikasi pusat sehenti digital perkhidmatan kerajaan memperkenalkan penstriman perlawanan bagi kejohanan itu.

“Menjelang kejohanan Piala Dunia FIFA 2026, aplikasi MyGOV akan memperkenalkan penstriman perlawanan yang dapat diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja.”

“Pengguna yang telah berdaftar dengan MyDigital ID akan dapat menonton secara siaran langsung menggunakan peranti mudah alih masing-masing, selain platform sedia ada.” tulis Kementerian Digital menerusi satu siaran media bertarikh pada hari ini.

Tinjauan di aplikasi MyGOV menyaksikan sebanyak lima saluran televisyen milik RTM disediakan untuk distrim – TV1, TV2, TV Okey, Sukan RTM dan Berita RTM.

Untuk makluman, Unifi TV dan RTM merupakan penyiar rasmi Piala Dunia FIFA edisi ke-23 kali ini. 

Unifi TV akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan secara langsung manakala RTM pula akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan secara langsung dan tertunda.

Piala Dunia kali yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico kali ini merupakan edisi sulung yang menampilkan 48 buah pasukan dan ianya akan membuka tirainya pada 11hb Jun kelak.

FEATURED IMAGE: FIFA World Cup

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd