ASEAN Club Championship Dinamakan Sebagai Piala Shopee

April 5, 2024
Uncategorized

Hafiz Omar

Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengumumkan saingan sulung ASEAN Club Championship yang akan bermula dari 17 Julai 2024 hingga 21 Mei 2025 dinamakan sebagai Piala Shopee.

Perkembangan itu hadir selepas syarikat platform e-dagang berkenaan tampil selaku penaja penamaan bagi saingan yang menghimpunkan 12 kelab bola sepak terbaik rantau asia tenggara.

Saingan terbabit akan disertai juara liga dan juara kejohanan berpiala (atau naib juara) dari Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam (dua slot masing-masing) serta Filipina dan Singapura (satu slot masing-masing).

Bagi slot dari Malaysia, Malaysian Football League (MFL) mencadangkan Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC selaku naib juara Piala FA dan Piala masing-masing untuk beraksi dalam saingan ini.

Sementara itu, juara liga bagi Brunei, Kemboja, Laos dan Myanmar akan merebut baki dua slot menerusi perlawanan pusingan play-off.

Baca: Terengganu FC, KL City Pula Dicalonkan Sertai ASEAN Club Championship 2024-25

Saingan ini akan dijalankan dengan 12 kelab tersebut akan diundi untuk dibahagikan kepada dua buah kumpulan.

Setiap kelab akan menentang kelab yang sekumpulan dengannya secara “double round-robin” di laman sendiri (home) dan laman lawan (away).

Juara dan naib juara setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir sebelum ke perlawanan akhir untuk merebut trofi kejuaraan.

Kedua-dua perlawanan peringkat separuh akhir dan akhir juga dilangsungkan secara timbal balik di laman sendiri (home) dan laman lawan (away).

Penganjur memaklumkan majlis undian bagi Piala Shopee akan dilangsungkan pada minggu pertama bulan Mei kelak namun tarikh dan lokasi spesifik bagi majlis tersebut akan dimaklumkan kemudian.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd