Penghujung Januari lalu, Malaysian Football League (MFL) menerusi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencalonkan Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC untuk beraksi dalam saingan ASEAN Club Championship (ACC) 2024-25 anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Pencalonan itu dibuat berdasarkan pencapaian kedua-dua kelab tersebut yang menamatkan saingan Liga Super 2023 di tempat ketiga dan keempat masing-masing.
Pada masa yang sama, MFL tidak dapat mencalonkan juara dan naib juara Liga Super kerana kedua-dua pasukan tersebut akan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Bagaimanapun, AFF memberikan maklum balas kepada FAM dan MFL untuk mencalonkan pula naib juara pertandingan berpiala iaitu Piala Malaysia 2023 dan Piala FA 2023.
Baca: Paling Minima Ikat 7 Pemain Import – CEO KL City
“Jadi, kami mencalonkan Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) berdasarkan pencapaian mereka dalam saingan Piala Malaysia dan Piala FA (masing-masing).” kongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam.
Namun begitu, difahamkan, pencalonan Terengganu FC dan KL City FC untuk beraksi dalam saingan ACC 2024-25 itu belum diputuskan secara mutlak. Disamping itu, MFL mahu membincangkan mengenai penentuan slot itu dengan lebih lanjut bersama AFF agar ianya lebih selaras.
“Sukar buat kami, kelab-kelab perlu bermain kedua-dua pertandingan AFC dan AFF (pada masa yang sama) bukan sahaja daripada perspektif hari perlawanan tetapi juga daripada segi pencegahan kecederaan (serta) penyertaan kelab-kelab dalam pertandingan AFC, kami akan bincangkan juga,” jelasnya lagi.
Sebagai tambahan, saingan ACC yang melibatkan 12 pasukan pada musim ini dijadualkan berlangsung dari Ogos 2024 hingga Februari 2025 bagi peringkat kumpulan. Manakala peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir pula berlangsung pada April dan Mei 2025.
Berdasarkan laporan media antarabangsa, saingan ACC 2024-25 menjanjikan wang ganjaran berjumlah lebih daripada AS$1 juta atau bersamaam kira-kira RM4.7 juta secara keseluruhan.
Featured Image: Terengganu FC