Pangsapuri Servis RM1 Juta Menanti Atlet Negara Bawa Pulang Pingat Emas Olimpik 2024

July 16, 2024
Lain-Lain

Hafiz Omar

Atlet negara yang berjaya membutirkan pingat emas di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 akan menerima sebuah pangsapuri servis Top Residency, Setia Alam yang bernilai RM1 juta sebagai insentif istimewa.

Insentif itu hadir menerusi tajaan daripada pemilik Top Residency merangkap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai sebagaimana diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh pada hari ini.

Untuk makluman, Top Residency yang terletak bersebelahan dengan pusat beli belah, Setia City Mall adalah sebahagian daripada sebuah hotel bertaraf 4 bintang iaitu Courtyard by Marriot.

Baca: Sivasangari Terima RM100,000 Daripada SHAKAM – Hasil Raih 2 Emas Sukan Asia

Menerusi kenyataan media yang dikongsikan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Lim mengharapkan insentif ini akan menjadi pemangkin kepada atlet-atlet negara untuk mencapai kejayaan yang belum pernah dicapai sebelum ini termasuk membawa pulang pingat emas Olimpik pertama Malaysia.

“Inisiatif ini bukan sekadar ganjaran ‘material’, tetapi juga simbol sokongan korporat terhadap kecemerlangan sukan negara. Kami ingin menggalakkan masyarakat untuk menghargai gaya hidup aktif dan sihat, serta memberi inspirasi kepada semua lapisan masyarakat untuk memberi impak positif kepada komuniti mereka,” katanya.

Tajaan itu mendapat ucapan terima kasih daripada pihak KBS sambil mengalu-alukan lebih banyak syarikat swasta dan korporat untuk tampil ke hadapan dalam usaha sama memajukan lagi industri sukan negara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd