Menteri WP Bagitahu Mantan Menteri: DBKL Tak Wajib Salur Peruntukan Kepada KLFA Atau KL City FC

July 19, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pihak berkuasa tempatan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiada sebarang kewajiban untuk menyalurkan dana kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mahupun Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

Penegasan itu dilakukan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Dr. Zaliha Mustafa menjawab permohonan mantan Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Presiden KLFA, Khalid Samad yang meminta 0.5% daripada jumlah pendapatan DBKL disalurkan kepada KLFA atau KL City FC.

“Selaku Menteri yang bertanggungjawab kepada DBKL, saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang obligasi untuk DBKL menyalurkan apa-apa bentuk peruntukan kepada KLFA dan KL City FC, walaupun ianya merupakan amalan kebiasaan sebelum ini.”

“KLFA dan KL City FC adalah merupakan badan yang berdiri dengan sendiri dan tidak mempunyai ikatan secara formal dengan DBKL dan beroperasi secara bebas. Perlu diingatkan bahawa hasil pendapatan DBKL sebahagian besarnya datang dari cukai yang dibayar oleh rakyat.”

Baca: Khalid Minta Ahli-Ahli Parlimen Kuala Lumpur ‘Sponsor’ Tiket KL City – Ramaikan Penyokong Di Stadium Cheras

“Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab DBKL untuk memastikan bahawa wang cukai rakyat ini digunakan dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran semua warga kota.” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikongsikannya pada Khamis.

Pada Rabu lalu, Khalid dalam satu sidang media menharapkan DBKL yang berhasil mengutip RM2.38 bilion bagi tahun 2024 dapat memberikan sejumlah 0.5% daripadanya kepada KL City FC – satu-satunya kelab bola sepak di Kuala Lumpur yang beraksi dalam kancah tertinggi bola sepak tempatan.

Peruntukan sebanyak 0.5% daripada jumlah pendapatan DBKL itu bersamaan dengan RM11.9 juta.

Kedua-dua jumlah itu jika dicampurkan akan menjadi lebih RM15 juta dan bagi Khalid ianya sudah memadai untuk menampung perbelanjaan dan pembayaran gaji melibatkan semua pemain dan kakitangan kelab sekaligus tidak akan berbangkit isu kewangan yang melanda KL City FC sepertimana diperkatakan pada saat ini.

Manakala sekiranya diambil pula 0.5% daripada perbelanjaan pembangunan DBKL iaitu RM650 juta, ianya bersamaan RM3.25 juta.

Featured Image: Facebook Zaliha Mustafa

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd