Kim Pan-gon Pengurus Baharu Ulsan HD – Kelab Liga Juara-Juara ACL Elite
Hafiz Omar
Bekas ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon tidak menganggur lama selepas mengumumkan meletakkan jawatannya pada 16hb Julai lalu.
Menerusi satu pengumuman oleh kelab yang berpangkalan di yang beraksi dalam saingan K League 1 di Republik Korea, jurulatih berusia 55 tahun tersebut sah dilantik sebagai pengurus baharu Ulsan HD FC (dahulunya dikenali sebagai Ulsan Hyundai).
Pengumuman itu dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya sekitar pukul 1.30 tengah hari tadi.
Kedatangan Pan-gon ke kelab berkenaan boleh disimpulkan sebagai sirih pulang ke gagang selepas menyertai berkhidmat sebagai pemain di kelab berkenaan dari tahun 1992 hingga 1996.
Baca: JDT Raih Paling Kurang RM3.77 Juta Beraksi Di ACL Elite 2024-25
Pada masa yang sama, perlantikan ini menjadikan Pan-gon julung kalinya akan mengendalikan kelab yang beraksi dalam kancah K League 1 dalam karier kejurulatihannya.
Selain itu, Pan-gon juga akan mengemudi Ulsan HD untuk menghadapi saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ALCE) – pertandingan yang sama disertai oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) – serta Piala Dunia Kelab FIFA 2025.
Tiada sebarang perincian mengenai kontrak Pan-gon bersama Ulsan HD dikongsikan kepada umum setakat ini.
Tambah pihak kelab lagi, Pan-gon akan menyertai Ulsan secara rasmi pada Isnin (29hb Julai).
Selain itu, pihak kelab turut menjadualkan sidang media sulung Pan-gon pada 5hb Ogos (Isnin) kelak.
Pan-gon akan mengendalikan perlawanan pertama rasminya bersama Ulsan HD bertemu Daegu FC di halamannya sendiri, Stadium Bola Sepak Munsu pada 10hb Ogos (Sabtu) bagi aksi ke-26 K League 1 2024.
Featured Image: Ulsan HD FC