Piala Sudirman 2025: Malaysia Turut Senaraikan Chen Tang Jie, Toh Ee Wei

April 14, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Para peminat sukan badminton tanah air berkemungkinan besar dapat melihat persembahan daripada gandingan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei buat kali terakhir sebelum dipisahkan pada penghujung April kelak.

Ini selepas kedua-duanya telah disenaraikan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menganggotai skuad negara bagi menghadapi saingan Piala Sudirman 2025 yang berlangsung dari 27hb April hingga 4hb Mei.

Tang Jie dan Ee Wei merupakan dua daripada enam pemain beregu campuran yang disenaraikan selai Goh Soon Huat, Shevon Jemie Lai, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin.

Baca: Chen Tang Jie & Toh Ee Wei Berpisah Untuk Kejohanan Seterusnya – BAM

Selain itu, BAM turut menyenaraikan Leong Jun Hao, Justin Hoh, Goh Jin Wei dan K. Letshanaan daripada sektor perseorangan lelaki dan wanita.

Bagi kategori beregu lelaki pula, BAM memanggil beregu yang baru sahaja menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yi selain menyertakan gandingan No.1 negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin.

Tidak ketinggalan, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun turut diletakkan bersama dalam senarai berkenaan.

Baca: Rexy Mainaky Dedah Pasangan Baharu Buat Tang Jie & Toh Ee Wei

BAM melengkapkan senarai anggota skuad negara ke Piala Sudirman 2025 dengan empat pemain beregu wanita iaitu Pearly Tan, Thinaah Muralitharan, Go Pei Kee dan Carmen Ting.

Kesemua 20 pemain yang disenaraikan ini akan memulakan kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Selasa sebagai persediaan sebelum terbang ke Xiamen, China.

Untuk makluman, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan C dan akan memulakan kempen dengan menentang Perancis (28hb April), diikuti dengan Australia (29hb April) dan diakhiri dengan Jepun (1hb Mei).

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd