Hanya 31 Gol Memisahkan Ronaldo Dengan Angka 1000

April 20, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo kini sudah mengumpul 969 gol secara keseluruhan dalam kariernya samada bersama skuad kebangsaan mahupun peringkat kelab.

Angka 969 itu muncul selepas Ronaldo menjaringkan gol pembukaan ketika mewakili Al Nassr bertemu kelab dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al Wasl pada suku akhir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Gol itu terhasil pada minit ke-11 menerusi satu rembatan di dalam kotak penalti mengalahkan penjaga gol, Mohamed Ali selepas menerima hantaran leret daripada Nawaf Boushal.

Perlawanan itu berkesudahan dengan keputusan 4-0 dimana Inigo Martinez, Abdulelah Al-Amri dan Sadio Mane turut meletakkan nama dalam senarai penjaring.

Kini Ronaldo hanya memerlukan 31 gol sahaja lagi sebelum menggenapkan jumlah jaringannya kepada angka 1,000 – sasaran yang ingin dicapainya sebelum bersara sebagai pemain bola sepak profesional.

Setakat hari ini, belum ada pemain bola sepak yang pernah merekodkan 1,000 gol dalam perlawanan kompetitif melainkan hitungan sendiri oleh Pele dan Romario dipercayai turut merangkumi gol daripada aksi persahabatan yang tidak kompetitif dan sesi latihan.

Featured Image: Al Nassr Football Club

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd