Artikel

Jurang Besar Portugal & Malaysia, MVP Seperti Safawi Perlu Ikuti Program Khas

Penyerang sayap, Safawi Rasid merupakan pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) sebanyak dua kali berturut-turut untuk tahun 2018 dan 2019.

Kehebatannya tidak perlu dipertikaikan lagi, sejak melakukan debut bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) pada januari 2017, pemain berusia 23 tahun ini telah merekodkan 47 gol dan 18 bantuan gol.

Ogos lalu, Safawi melengkapkan perpindahannya ke pasukan Portimonense SC yang beraksi dalam saingan Liga Premeira, Portugal secara pinjaman.

Setelah hampir dua bulan di sana, Safawi masih belum mempunyai rezeki untuk melakukan debutnya.

Pencapaian terbaiknya setakat ini hanyalah tersenarai dalam skuad 18 pemain pada hari perlawanan menentang kelab gergasi, FC Porto.

Ini bukanlah suatu kepelikan memandangkan Liga Portugal dan Liga Malaysia sememangnya mempunyai jurang yang besar dalam segala aspek.

Baca: Peminat Perlu Faham Safawi Bersaing Dengan Pemain Dari Negara Ranking Tinggi

Safawi yang merupakan pemenang anugerah MVP dua kali berturut-turut, yang terbukti kehebatannya masih tidak mencapai tahap fizikal dan tahap kecergasan yang diperlukan di Liga Portugal.

Disebabkan itu, Safawi masih tidak berpeluang untuk melakukan debut sehingga hari ini malahan dia perlu menjalani satu program khas untuk mencapai tahap yang diperlukan.

Baca: Peminat Letak Harapan Terlalu Tinggi Terhadap Safawi – Bekas Penyerang Angers

“Ketika ini saya menjalani latihan seperti biasa malah kelab menyediakan program khas untuk saya supaya dapat membentuk fizikal serta kekuatan seperti pemain eropah,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Namun, Safawi masih tenang menantikan peluang untuk diberikan debut oleh ketua jurulatihnya, Paulo Sergio. Dia kekal positif untuk terus meraih kepercayaan Paulo dengan meningkatkan prestasinya dalam sesi latihan dari semasa ke semasa.

Mempercayai masanya akan tiba kelak, Safawi sempat memohon penyokong-penyokong bola sepak di Malaysia tidak meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi untuk melihatnya diturunkan bermain dalam masa terdekat.

Featured Image: Portimonense Futebol SAD

komen