Artikel

Kelayakan Piala Asia B-23: Coach Brad Panggil ‘Budak SMK Kulim’ & Penjaga Gol Muda Perak

Selepas menyenaraikan 27 pemain bagi menyertai Kem Latihan Pusat Fasa 1 Skuad Bawah 20 Tahun (B-20) Kebangsaan, ketua jurulatihnya, Brad Maloney memanggil dua lagi pemain tambahan.

Kem latihan ini dijalankan secara kuarantin di Petaling Jaya, Selangor sebagai persiapan untuk menghadapi saingan Kumpulan J, Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) pada penghujung Oktober kelak.

Baca: Brad Maloney Panggil Lima Pemain Melebihi Umur 20 Tahun

Menerusi makluman daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dua pemain tambahan yang dipanggil oleh jurulatih kelahiran Australia terbabit ialah pemain tengah Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Chia Ruo Han, 20 tahun dan penjaga gol muda Perak, Azri Ab Ghani yang berusia 22 tahun.

Untuk makluman semua, Chia Ruo Han pernah menarik tumpuan peminat dan penyokong bola sepak tempatan apabila namanya disenaraikan oleh JDT untuk mengharungi saingan Liga Juara-Juara AFC 2021 pada Jun yang lalu.

Baca: Chia Ruo Han Dari SMK Kulim Ke Liga Juara-Juara AFC

Ruo Han merupakan bekas pelajar SMK Kulim, Kedah dan pernah terbang ke luar negara untuk menjalani latihan di Manchester Soccer School di United Kingdom (UK) serta Allianz Junior Football Camp (AJFC) di Bali, Indonesia. 

Sekitar tahun 2018, anak kepada bekas pemain bola sepak dan jurulatih remaja, Chia Ah Bee ini membuat keputusan untuk menyertai Akademi JDT pada usia 17 tahun.

Ruo Han dipanggil untuk menggantikan Ahmad Aysar Hadi Mohd Sapri juga daripada JDT II yang mengalami kecederaan ketika beraksi menentang Kuching City dalam saingan Liga Premier, minggu lalu.

Sementara itu, Azri, penjaga gol muda yang menyertai Perak pada awal tahun ini, berjaya tampil sebanyak enam kali bersama skuad senior Perak dalam saingan Liga Super turut dipanggil oleh Coach Brad.

Ini menjadikan seramai lima penjaga gol dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Fasa 1 secara keseluruhan. Sebagai tambahan, kem ini akan berlangsung bermula 30 Ogos sehingga 7 September 2021.

Coach Brad akan memanggil pemain-pemain lain yang beraksi bersama skuad Liga Super serta dari luar negara seperti Luqman Hakim (KV Kortrijk) dan Wan Kuzri Wan Kamal (University of Akron) pada kem latihan pusat Fasa 2. 

Baca: Wan Kuzri Jaring Gol & Cipta ‘Assist’ Bantu Pasukannya Menang Besar 7-1

komen