Written by 6:27 pm Basikal, Malaysia, Trek

Kejohanan Berbasikal Trek Dunia: Fadhil Zonis Sasar Catat Masa Bawah Seminit

Pelumba basikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis meletakkan sasaran untuk mencatatkan masa di bawah seminit dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2021.

Menurut laporan akhbar tempatan Harian Metro, pelumba muda berusia 23 tahun itu meletakkan sasaran tersebut untuk memecahkan rekod kebangsaan yang diciptanya iaitu 1 minit 00.305 saat (s) ketika beraksi di Kejohanan Dunia di Berlin, tahun lalu.

Baca: Basikal WX-R Sengaja Diletakkan Harga RM300,000 – Ini ‘Rahsia’ Dikongsikan Azizulhasni Awang

“Jika saya boleh buat bawah satu minit, kemungkinan besar ada peluang untuk memenangi pingat pada Kejohanan Dunia kali ini,” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar berkenaan.

Tambahnya lagi, sasaran tersebut bukan sahaja menjadi impiannya malahan turut dituntut oleh jurulatih kebangsaan, John Beasley.

“Setakat ini persiapan semua berjalan dengan lancar dan saya memang sudah bersedia untuk beraksi,” katanya lagi yang akan terbang ke kejohanan tersebut di Roubaix, Perancis pada 10 Oktober nanti.

Artikel Berkaitan: Shah Firdaus & Fadhil Zonis Bakal Sertai 3 Acara

Untuk makluman semua, bulan Mei lalu, Fadhil menyertai Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong. Di kejohanan tersebut, Fadhil berhasil membawa pulang pingat emas dan perak masing-masing dalam acara keirin dan ujian masa 1km.

Sebagai tambahan, kejohanan yang akan berlangsung pada 20 hingga 24 Oktober kelak akan turut disertai oleh seorang lagi pelumba negara iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Featured Image: Instagram Fadhil Zonis

(Visited 2,360 times, 1 visits today)
Close