Written by 1:17 pm Badminton, Malaysia

Piala Thomas 2020: Tak Mustahil Skuad Muda Malaysia Mara ke Final

Walaupun pasukan lelaki Malaysia dianggotai oleh rata-rata pemain yang muda, ianya bukan sesuatu yang mustahil untuk mara ke pentas akhir dalam kejohanan Piala Thomas 2020.

Malahan bekas pemain perseorangan negara merangkap pemenang Piala Thomas 1992, Datuk Rashid Sidek berpandangan peluang semua pasukan untuk muncul juara terbuka luas termasuk pasukan Malaysia.

Menurut laporan Harian Metro, beliau memerhatikan kebanyakan pemain-pemain utama dunia gagal mempamerkan aksi yang sebenar mereka selepas temasya Sukan Olimpik sekaligus memberi peluang kepada para pemain muda untuk menyerlah.

Anggota skuad Piala Thomas 2020

“Kalau masih ingat, skuad negara yang beraksi pada 2014 di New Delhi tidak diberikan sebarang harapan. Tapi kita berjaya mara sehingga ke final dan hampir muncul juara sebelum tewas kepada Jepun.

“Jadi, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita melakukannya sekali lagi pada edisi tahun ini walaupun pasukan kita dibarisi pemain muda.

“Bagi saya, pemain muda perlu memanfaatkan peluang beraksi dalam kejohanan besar seperti ini untuk membuktikan kemampuan masing-masing. Tunjukkan komitmen 100 peratus dan tidak perlu takut.

“Kalah atau menang itu adat pertandingan, yang penting tunjukkan semangat juang tinggi,” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar terbabit.

Lee Zii Jia (kiri) serta Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (kanan).

Artikel Berkaitan: Rashid Sidek Akan Terus Melatih Liek Hou Sehingga Paralimpik 2024

Pada masa yang sama, Rashid yang juga merupakan jurulatih kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, Cheah Liek Hou melihat pemain perseorangan, Lee Zii Jia dan beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal menjadi taruhan utama untuk memungut mata buat pasukan Malaysia.

Untuk makluman semua, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Jepun dan Kanada sementara England telah mengumumkan menarik diri kerana kecederaan melibatkan beberapa pemain utama.

Perlawanan pertama melibatkan pasukan Malaysia  menentang Kanada dijadualkan berlangsung pada 13 Oktober bermula jam 1 pagi waktu Malaysia. Perlawanan ini akan disiarkan secara langsung oleh Astro dan RTM.

(Visited 156 times, 1 visits today)
Close