Artikel

Beri Pasport Kepada Pemain Muda Seperti Romel Morales Bukannya Penyerang Usia 30-an

Sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu menaturalisasikan pemain terutamanya di posisi penyerang bagi menguatkan skuad kebangsaan, Romel Morales yang beraksi bersama Kuala Lumpur City (KL City) adalah calon yang paling sesuai.

Pada asalnya, pemain kelahiran Colombia ini merupakan seorang pemain tengah menyerang (attacking midfielder). Namun begitu, disebabkan dua penyerang import KL City ditimpa kecederaan pada musim ini, Romel dipilih untuk dimainkan sebagai penyerang.

Walaupun Romel bergelut untuk beraksi di posisi tersebut ketika kempen Liga Super lalu, akan tetapi, saingan Piala Malaysia yang sedang berlangsung pada ketika ini menyaksikan pemain berusia 24 tahun ini tampil semakin berbisa di posisi itu.

Baca: Morales Akui Masih ‘Bergelut’ Untuk Beraksi Sebagai Penyerang

Manakan tidaknya, hasil kerja kerasnya, kini, Romel memimpin carta penjaring terbanyak saingan Piala Malaysia dengan rekod 9 gol. Jumlah itu termasuk satu gol yang dijaringkan ketika menentang Selangor pada peringkat suku akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

“Sebenarnya dia merupakan seorang pemain tengah menyerang dan dia tidak suka bertahan, jadi kami letakkannya di (barisan) hadapan kerana pada ketika itu kami tidak mempunyai sesiapa (yang mampu bermain di situ).” kata ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak ketika sidang media selepas tamat perlawanan.

Untuk makluman semua, KL City boleh diumpamakan sebagai sudah jatuh ditimpa tangga apabila penyerang yang ditandatangani pada awal musim, Dominique Da Sylva ditimpa kecederaan ligamen kaki pada bulan April lalu. Kecederaan itu menyebabkan Dominique terpaksa berehat panjang sekaligus menyebabkan KL City terpaksa melupakan khidmatnya.

Pada jendela perpindahan pertengahan musim, KL City membawa masuk penyerang baharu, Kyrian Nwabueze untuk menggantikan Dominique. Bagaimanapun, penyerang kelahiran Nigeria ini sempat beraksi satu perlawanan sahaja bersama KL City sebelum ditimpa kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan terpaksa berehat panjang juga.

Ini menyebabkan Romel kembali dipertaruhkan oleh Bojan untuk mengetuai barisan serangan KL City sehinggalah ke saat ini.

Bojan Hodak

Baca: Pemilihan Bojan Perkara Paling Penting Dilakukan CEO KL City Musim Ini 

“Hari ini dia menjaringkan gol lagi, dia sangat berbahaya, kuat, mempunyai kemampuan teknikal yang baik dan mampu memegang bola,”

“Dia merupakan pemain yang bagus untuk (skuad kebangsaan) Malaysia, jikalau anda nak berikan pasport kepada seseorang, dia berusia 24 tahun, inilah pemainnya, bukannya pemain yang berusia 30-an.” tambah Bojan yang gembira pasukannya meraih kemenangan 2-0 ke atas skuad Red Giants itu.

Untuk makluman semua, Romel mula beraksi dalam kancah Liga Malaysia bermula tahun 2018 bersama Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC). Tahun ini merupakan tahun keempatnya beraksi di sini.

Menurut peraturan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mana-mana pemain yang ingin dinaturalisasikan oleh sesebuah negara, pemain tersebut mestilah telah beraksi di negara terbabit selama lima tahun berturut-turut serta tidak pernah mewakili mana-mana skuad senior kebangsaan negara lain.

komen