Azhad Harraz Penyerang Berusia 18 Tahun, Jaring 8 Gol Dalam 18 Perlawanan – Prospek Besar Negara Masa Hadapan
September 7, 2021 Hafizuddin Omar

Walaupun dibarisi oleh pemain-pemain muda berusia 20 tahun dan ke bawah, prestasi Skuad Projek FAM-MSN yang hanya mencatatkan satu kemenangan dan 3 seri daripada 18 perlawanan liga musim ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Bagaimanapun, disebalik prestasi yang corot dalam saingan Liga Premier 2022, skuad yang terbentuk hasil kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) ini boleh berbangga dengan pencapaian penyerangnya, Azhad Harraz Arman.

Baca: Netizen Jangan Terlalu Mengkritik Pemain Skuad Projek FAM-MSN

Pertahanan-pertahanan import sasa tidak menjadi batu penghalang buat pemain kelahiran Semporna, Sabah ini meledak sebanyak 8 gol daripada 18 perlawanan yang telah diharungi oleh pasukannya.

Rekod jaringan tersebut turut mendapat pujian ketua jurulatihnya, Yusri Che Lah serta melabelkan Azhad sebagai prospek besar negara pada masa hadapan. 

Akan tetapi, jurulatih berusia 45 tahun ini melihat Azhad perlu diberikan lebih masa dan minit permainan untuk mengembangkan lagi bakatnya dan memperbaiki kelemahannya.

Ketua jurulatih, Yusri Che Lah – Foto: MFL

“Jika dilihat pada usia muda 18 tahun, Azhad telah melakukan sesuatu yang cukup bagus bersama pasukan dan seharusnya beliau perlu diberi masa dan minit permainan yang lebih untuk mengembangkan lagi bakatnya.

“Dia memiliki ciri-ciri seorang penyerang yang kita nak, tetapi dia masih muda dan sudah tentu banyak kelemahan lagi yang perlu dia perbaiki.

“Bagi saya, dia memang antara prospek yang baik selepas kita juga pernah memilik nama-nama lain seperti contoh Luqman Hakim Shamsudin dan ramai lagi prospek muda.

“Saya percaya dia akan lebih berjaya seandainya terus bekerja keras sepertimana yang dia lakukan sekarang bersama pasukan”, kata Yusri Che Lah.

Baca: Majoriti Graduan AMD ‘Batch’ 1 & 2 Berjaya Sertai Kelab Profesional – 37 Daripadanya Bersama Selangor

Untuk makluman semua, sebelum menyertai Skuad Projek FAM-MSN, Azhad merupakan produk Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Sebagai tambahan, saingan Liga Premier berbaki dua perlawanan sahaja lagi sebelum menutup tirainya bagi saingan musim 2021.

Dua perlawanan terakhir yang akan dihadapi oleh Skuad Projek FAM-MSN adalah menentang Perak 2 (10 September) dan Kuching City (14 September).

Featured Image: MFL

Komen