Orang Politik vs Orang Bukan Politik Pimpin Pasukan Bola Sepak
September 21, 2021 Hafizuddin Omar

Di Malaysia, isu mengenai ‘orang politik’ atau ‘orang bukan politik’ memimpin persatuan, kelab atau pasukan bola sepak sering menjadi polemik dalam kalangan penyokong mahupun peminat.

Ada kalangan yang tidak kisah jikalau ‘orang politik’ yang memimpin namun ada juga golongan yang mahukan ‘orang bukan politik’ seperti bekas pemain atau kalangan ahli perniagaan untuk menerajui persatuan dan kelab bola sepak tempatan.

Pada ketika ini, kita dapat melihat kedua-dua golongan menghiasi pimpinan persatuan dan kelab bola sepak tempatan. Sebagai contoh, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kedua-duanya diterajui oleh Menteri Besar kedua-dua negeri terbabit.

Presiden PBSNT, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar – Foto: PBSNT

Sementara itu, ahli perniagaan seperti Dato’ Sri Vijay Eswaran dan Norizam Tukiman pula memiliki dan menerajui pasukan Petaling Jaya City (PJ City) dan Kelantan masing-masing dalam saingan Liga Super dan Liga Premier.

Baca: DNA ‘Yakini Lokal’ PJ City Akan Diteruskan Pada Musim 2022

Baca: Pemilik TRW Kelantan FC Tarik Minat Pelabur Baharu Untuk Bangunkan Pasukan?

Tidak dilupakan, bekas pemain dan pengulas juga dapat dilihat memimpin pasukan seperti Stanley Bernard yang kini menduduki kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan yang berpangkalan di ibu kota, Kuala Lumpur City (KL City).

Tidak lengkap sekiranya tidak disebutkan kalangan bukan ‘orang politik’ mahupun ‘orang bukan politik’ yang turut memimpin pasukan bola sepak seperti YTM KOL (K) Kehormat Tunku Syed Razman Bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Tunku Besar Tampin (Presiden Bola Sepak Negeri Sembilan), DYTM Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor (Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor) dan DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (pemilik Johor Darul Ta’zim).

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berpandangan isu ‘orang politik’ atau ‘orang bukan politik’ bukanlah perkara yang harus menjadi polemik namun yang paling utama adalah minat seseorang individu tersebut dalam sukan bola sepak.

“Pada saya tak kiralah sama ada ‘orang politik’ atau tidak, yang penting individu itu mestilah benar-benar berminat dalam bola sepak. Kalau orang politik, tetapi dia berminat dengan bola sepak, apa salahnya?

“Maksud saya, minatnya itu membuatkan dia meletakkan hati dan rohnya terhadap bola sepak. Kalau setakat minat sebab nak populariti, memang tak jadilah. Perkara ini kalau niat itu tak betul, memang tak jadilah.

Datuk Jamal Nasir Ismail – Foto: FAM

“Bagi saya, tak timbul masalah ‘orang politik’ atau tidak kerana yang penting minat. Jadi tidak betul kalau ada penyokong yang menyalahkan 100 peratus ‘orang politik’ jika sesebuah pasukan itu jatuh.

“Lihat (Menteri Belia dan Sukan) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Beliau bekas Menteri Besar Perak dan pernah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

“Bila beliau tidak lagi pimpin PAFA, apa jadi dengan Perak. Itulah masalahnya dan bukan sebab ‘orang politik’ semata-mata,” katanya seperti dipetik daripada Sinar Harian.

Sebahagian pemain Perak FC musim 2021 – Foto: Perak FC

Baca: Syarikat Yang Menguruskan Padang, Kopa Arena Berminat Taja & Beli Saham Perak FC

Jamal melontarkan pandangan ini sebagai reaksi kepada gesaan kalangan penyokong Perak yang mahukan kesemua ‘ahli politik’ dalam PAFA dan Perak FC melepaskan jawatan masing-masing.

Ianya selepas pasukan tersebut mengharungi saingan Liga Super 2021 dalam keadaan terumbang-ambing sehinggakan mereka menamatkan saingan di tangga ke-11 sekaligus ditendang ke saingan Liga Premier pada musim hadapan.

Sementara itu, selain minat, Jamal melihat pengaruh seseorang juga amat perlu apabila memimpin mana-mana persatuan atau pasukan bola sepak. Hal ini kerana pengaruh tersebut dapat digunakan untuk mendapatkan dana buat persatuan atau pasukan masing-masing. 

“Dalam menguruskan sesebuah persatuan atau pasukan itu, individu berkenaan kena ada pengaruh untuk dapatkan dana. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk diperoleh melainkan ada pengaruh, kalau setakat bekas pemain, siapa nak pandang?

“Kalau ‘orang politik’, beliau mungkin ada pengaruh. Saya lebih melihat ‘orang politik’ mampu menarik minat pihak penaja tetapi itu tidak bermakna, individu bukan ahli politik tidak boleh mendapatkan dana,” katanya lagi.

Komen