Wakil kepada pelumba muda negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok memaklumkan sedang melakukan rundingan untuk meletakkannya dalam pasukan yang beraksi dalam Kejuaraan Dunia Moto3, pada tahun hadapan.
Individu yang menjadi wakil kepada pelumba berusia 19 tahun ini ialah Zulfahmi Khairuddin yang turut bertanggungjawab terhadap program pembangunan pelumba Sepang International Circuit (SIC).
Menurut laporan akhbar berbahasa inggeris, New Straits Times, dimaklumkan tempoh rundingan itu akan mengambil masa maksimum sebulan, bagaimanapun, tiada sebarang bayangan tentang pasukan manakah yang sedang dirunding olehnya didedahkan buat masa ini.
“Untuk Syarifuddin, buat masa sekarang amat jelas kami sedang berunding dengan pasukan Kejuaraan Dunia untuk memastikan dia mendapat tempat pada tahun hadapan,”
“Ia mungkin mengambil masa antara dua hingga empat minggu untuk memuktamadkan perundingan. Kami akan maklumkan secara rasmi apabila ia dimuktamadkan nanti.” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar terbabit.
Sementara itu, Zulfahmi turut berkongsikan mengenai seorang lagi pelumba muda negara iaitu Adam Norrodin. Beliau berkata, pihaknya masih memikirkan samada untuk mengekalkan pelumba berusia 23 tahun ini dalam kejuaraan yang sama atau ‘menaikkan pangkat’ ke saingan Kejuaraan Dunia Moto2.
Artikel Berkaitan: Petronas Sprinta Racing Pilih Adam Untuk Perlumbaan Moto2 di Litar Silverstone
“Untuk Adam, kami sedang menilai prestasinya dan belum menentukan samada untuk mengekalkannya dalam saingan Kejuaraan Eropah Moto2 atau membawanya ke saingan Kejuaraan Dunia Moto2 pada tahun hadapan. Masih menjadi tanda tanya di situ,” katanya lagi.
“Kedua-dua pelumba telah melakukan yang terbaik dalam kejuaraan (yang disertai) masing-masing pada tahun ini.
“Bagaimanapun, saingan Kejuaraan Remaja Dunia Moto3 (yang disertai Syarifuddin) lebih kompetitif berbanding Kejuaraan Eropah Moto2.
“Kami merasakan Syarifuddin lebih berpotensi untuk beraksi dengan baik dalam Kejuaraan Dunia Moto3. Tempat Moto3 pula amat terhad, jadi kami perlu pantas.” tambahnya lagi.
Artikel Berkaitan: Syarifuddin ‘Damok’ Bakal Melakukan Debut Moto3 di Aragon GP
Bercakap mengenai prestasi Damok pada tahun ini, pelumba kelahiran Selangor ini berhasil muncul juara dalam saingan Kejuaraan Remaja Dunia Moto3 ketika beraksi dalam satu perlumbaan di Litar Catalunya pada bulan Jun lalu.
Ketika diberikan peluang beraksi dalam saingan Kejuaraan Dunia Moto3 bersama Petronas Sprinta Racing di perlumbaan Aragon GP pertengahan September lalu, Damok menghasilkan keputusan yang memberangsangkan apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 walaupun bermula di petak ke-21 sekaligus menyumbang mata berharga buat pasukan.
Featured Image: Instagram Syarifuddin Azman