Peminat bola sepak di Rusia tidak lagi dapat menonton siaran langsung saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas daripada saat ini.
Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan malam tadi, EPL serta 20 pasukan yang beraksi dalam saingan tersebut bersetuju untuk menggantung perjanjian bersama rakan penyiar Rusia, Okko Sport dengan serta merta.
Tindakan ini diambil sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Rusia terhadap Ukraine dan ianya dikutuk sekeras-kerasnya oleh EPL.
Baca: FIFA Dan UEFA Menggantung Rusia Daripada Sebarang Pertandingan Antarabangsa
Pada masa yang sama, EPL turut mengumumkan menderma sebanyak £1 juta (±RM5.5 juta) kepada Jawatankuasa Bencana Kecemasan (DEC) untuk diberikan sebagai bantuan kemanusiaan secara terus kepada mereka yang memerlukan.
Selain itu, tindakan ini diikuti dengan semua kapten pasukan akan memakai lilitan lengan khas berserta dengan para penyokong bersama-sama para pemain, pengurus, pegawai dan staf kelab-kelab bersolidariti sebelum sepak mula setiap perlawanan minggu ini.
Baca: Schalke 04 Buang Logo Penaja Utama, GAZPROM Ekoran Konflik Rusia-Ukraine
Skrin besar di dalam setiap stadium akan memaparkan perkataan “Football Stands Together” berlatar belakangkan biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Ukraine. Perkataan ini turut dipaparkan di papan LED di sekeliling pada semasa berlangsungnya perlawanan.
Mesej solidariti ini akan dapat dilihat oleh para peminat di seluruh dunia menerusi saluran digital EPL dan penyiar perlawanan. Ini sebagai tambahan cara-cara mempamerkan sokongan berterusan yang diberikan oleh kelab-kelab.