Artikel

Terbuka Jerman: Dua Perseorangan Lelaki Indonesia Kandas, Gagal Ke Suku Akhir

Pusingan 16 Terbuka Jerman telah melabuhkan tirainya dan dua keputusan yang mengejutkan dalam kategori perseorangan lelaki tercipta, awal pagi tadi.

Kejutan itu melibatkan tersingkirnya dua pemain Indonesia yang diletakkan sebagai pilihan keempat dan keenam untuk menjuarai kejohanan ini iaitu Anthony Sinisuka Ginting dan Jonatan Christie.

Baca: Juara Dunia, Loh Kean Yew Kecundang Di Pusingan 32

Pusingan itu menyaksikan Ginting yang menghuni ranking kelima dunia merangkap pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 tumpas secara ‘straight set’ kepada pemain India, Lakshya Sen dengan keputusan 21-7 dan 21-9 dalam tempoh 34 minit.

Sementara itu, Jonatan yang merupakan pemain No.8 dunia pula tewas kepada pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn juga secara ‘straight set’ dengan keputusan 22-20 dan 21-9 dalam tempoh masa 51 minit permainan.

Baca: Bekas Pemain No.1 Kento Momota Turut Tersingkir Di Pusingan 32

Untuk makluman semua, kedua-dua pemain yang memenangi perlawanan di Pusingan 16 ini menduduki ranking lebih rendah daripada Ginting dan Jonatan. Lakshya sendiri merupakan pemain No.12 dunia sementara Vitidsarn pula menghuni ranking ke-20 dunia.

Dengan kemenangan ini, kedua pemain itu menempah slot ke saingan suku akhir. Di pusingan itu nanti, Lakshya akan bertemu lawan senegaranya, Prannoy Haseena Sunil Kumar. Manakala Vitidsarn pula akan menghadapi tentangan daripada pemain Jepun, Kenta Nishimoto.

komen