Ranking BWF: Zii Jia Pintas Kedudukan Pemenang Pingat Emas Olimpik 2016
May 3, 2022 Hafizuddin Omar

Kejayaan jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia merangkul Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 membolehkannya memintas kedudukan pemain berstatus legenda, Chen Long dari China dalam ranking dunia.

Menerusi kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, kejuaraan yang diraih oleh pemain kelahiran Alor Setar, Kedah dalam saingan BAC itu meletakkannya di ranking keenam dunia pada minggu ini.

Zii Jia merangkul mahkota kejuaraan ‘Raja Asia’ itu dengan menumpaskan pemain Indonesia, Jonatan Christie dengan skor 21-17 dan 23-21 dalam perlawanan akhir di Manila, Filipina pada Ahad lalu.

Baca: Gelaran Raja Badminton Asia 2022 Jadi Milik Lee Zii Jia

Ia sekaligus menolak kedudukan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 serta pingat perak Sukan Olimpik 2020 di tangga ketujuh.

Sebagai selingan, Chen Long yang kini berusia 33 tahun juga merupakan pemain yang bertanggungjawab menyingkirkan Zii Jia di peringkat suku akhir temasya Sukan Olimpik 2022 di Tokyo, tahun lalu. 

Baca: Olimpik 2020 – Perjuangan Lee Zii Jia ‘Dimatikan’ Juara Bertahan, Chen Long

Untuk pengetahuan semua, ini merupakan ranking tertinggi pernah dihuni oleh pemain berusia 24 tahun ini sepanjang karier badmintonnya. 

Sementara itu, kemaskini terbaru itu juga memperlihatkan pemain senior, Liew Daren meningkat satu anak tangga menjadikannya menghuni ranking ke-34 dunia. Manakala, seorang lagi pemain negara, Aidil Sholeh pula merekodkan lonjakan 13 anak tangga sekaligus membolehkannya menduduki ranking ke-100 dunia.

Featured Image: Badminton Asia 

Komen