Yusri Che Lah Kendali Skuad Perak B-23 Dalam Saingan Liga Simpanan Musim 2023
September 13, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan yang beraksi dalam kancah Liga Premier, Perak FC mengumumkan bekas pengendali skuad negara bawah 16 tahun (B-16), Lim Teong Kim menjadi ketua jurulatihnya bagi musim 2023 kelak.

Selaras dengan pengumuman itu, skuad berjulukan The Bos Gaurus turut memaklumkan ketua jurulatih semasanya, Yusri Che Lah akan diberikan peranan baharu pada musim hadapan.

Peranan tersebut adalah ketua jurulatih bagi skuad bawah 23 tahun (B-23) Perak yang akan beraksi dalam Liga Simpanan – saingan yang julung kalinya dianjurkan oleh Malaysian Football League (MFL) bermula musim 2023. 

Baca: Bekas Pengendali Bayern Munich, Lim Teong Kim Dilantik Ketua Jurulatih Perak FC – Kontrak 2+1 Tahun

Baca: 18 Pasukan Bertanding Dalam Saingan Liga Super 2023 & Liga Simpanan Diperkenalkan

“Lembaga Pengarah ingin mengucapkan terima kasih kepada ketua jurulatih semasa Yusri Che Lah atas segala usaha dan kerja keras beliau sepanjang berkhidmat dengan pasukan.

“Yusri akan diberi peranan baru untuk membangunkan skuad B-23 musim depan apabila Teong Kim mengambil alih peranan baharunya sejurus selepas perlawanan dengan Kuching City FC di Stadium Perak pada 17 September 2022, jam 9 malam, dengan proses penyerahan dimuktamadkan sebelum pramusim 2023.” tulis kenyataan kelab dalam satu kenyataan media yang dikongsikan pada hari ini.

Untuk makluman semua, Yusri dilantik sebagai ketua jurulatih Perak bermula penghujung Januari lalu. Jurulatih berusia 46 tahun ini menyertai Perak selepas meletakkan jawatannya sebagai ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN pada Disember tahun lalu.

Featured Image: Perak Football Club

Komen