Sabah Hilang Khidmat ‘Pak Karim’ Menjelang Perlawanan Akhir Menentang JDT
October 14, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad berpangkalan di kepulauan Borneo yang kini menghuni tangga kedua Liga Super, Sabah FC sudah pasti mahu menutup saingan musim ini selaku naib juara sekaligus menempah tiket ke saingan Piala AFC, tahun hadapan.

Bagaimanapun, cita-cita tersebut nampaknya samar-samar apabila salah seorang tonggak importnya iaitu Park Tae-su atau dikenali sebagai Karim dalam kalangan rakan sepasukannya tidak dapat diturunkan dalam perlawanan terakhir liga menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Sabtu ini.

Baca: Pandai Berbahasa Melayu, Park Tae-su Turut Dipanggil ‘Karim’ Dalam Kalangan Rakan Sepasukan

Memetik laporan Astro Awani, ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee memaklumkan pemain berusia 32 tahun yang menjadi hero dengan menjaringkan gol kemenangan saat-saat akhir ketika menentang Sri Pahang pada Selasa lalu tidak dapat diturunkan kerana mendapat kad kuning dalam perlawanan tersebut.

Selain itu, skuad berjulukan Sang Badak masih tidak dapat menggunakan khidmat dua lagi pemain importnya, Jackson de Souza dan Jose Embalo kerana kecederaan.

“Tetapi pemain lain berada dalam keadaan yang cukup baik dan sudah pasti pemain yang akan diturunkan — seperti mana yang kami lakukan sebelum ini – saya percaya mereka mampu menggalas tugas dengan baik.

“Kalau kita lihat pasukan Sabah, kami tidak bergantung kepada sebarang individu untuk menjaringkan gol.

“Kalau kita lihat senarai penjaring kami, ramai pemain boleh menjaringkan gol tetapi kehilangan Park sudah pasti akan menyebabkan bahagian tengah dan pertahanan mungkin kehilangan seseorang yang cukup berpengalaman.

“Dengan itu, saya perlu memastikan sesiapa sahaja yang menggantikan Park dapat bermain seperti yang kami inginkan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam. 

Pada saat ini, Sabah berada di tangga kedua liga dengan 42 mata daripada 21 perlawanan. Akan tetapi, mereka dihimpit rapat oleh Terengganu dan Negeri Sembilan yang berada di tangga ketiga dan keempat dengan 41 mata masing-masing.

JDT yang telah pun dinobatkan juara Liga Super musim ini sudah pasti mahu menutup musim ini dengan gelaran “invincible” atau tanpa kalah. Perlawanan menentang Sabah akan menjadi medan untuk merealisasikan perkara tersebut.

Sekiranya Sabah kalah di tangan JDT yang bercita-cita untuk merangkul gelaran kejuaraan “invincible” terbabit, manakala, Terengganu dan Negeri Sembilan meraih kemenangan menentang lawan masing-masing, skuad Sang Badak terpaksa akur menutup saingan musim ini di tangga keempat serta kehilangan peluang ke saingan Piala AFC 2023 menerusi slot naib juara Liga Super.

Featured Image: Sabah Football Club

Komen