Penyerang Sayap Portugal, Jota Sertai Benzema & Kante Di Al-Ittihad
July 4, 2023 Meor Mohamad Amirul

Penyerang kelahiran Portugal, Jota bakal menjadi pemain seterusnya menyertai juara Liga Professional Saudi, Al Ittihad sekaligus menjadi pemain import ketiga kelab tersebut.

Bagaimanapun, penyokong Liverpool tidak perlu risau kerana bukan Diogo Jota yang bakal bersama skuad bimbingan Nuno Espirito di Arab Saudi terbabit. Sebaliknya, Jota atau nama sebenarnya Joao Pedro dari Celtic yang akan menyarung jersi skuad berjulukan Al-Numoor. 

Pemain berusia 24 tahun itu diperkenalkan menerusi video bertempoh hampir dua minit yang menampilkan pengendali mereka dalam bentuk animasi. Ianya disiarkan menerusi pelbagai media sosial milik kelab tersebut. 

Untuk makluman, Jota memulakan kariernya bersama Benfica dan pernah dipinjamkan kepada kelab Sepanyol, Real Valladolid dan Celtic sebelum menyertai kelab Scotland terbabit secara kekal pada awal musim 2022-23. 

Bagi musim 2022-23, Jota yang bermain sebagai penyerang sayap kiri telah beraksi sebanyak 43 perlawanan yang menyaksikan dirinya menjaringkan 15 gol serta mencatatkan 12 bantuan (assists) buat skuad The Celts.

Anak jati Lisbon itu pernah membantu Benfica memenangi Primeira Liga semusim sebelum meraih kejuaraan treble dalam saingan domestik bersama Celtic pada musim 2022-23. 

Sebelum ini, Al Ittihad turut mengumumkan kehadiran dua bintang Perancis, Karim Benzema dan N’Golo Kante yang sememangnya dikenali sebagai figura bola sepak yang terkemuka dengan pelbagai pencapaian peringkat kelab mahpun negara. 

Featured Image: Ittihad Club

Komen