Artikel

JDT Ceburi Arena Perlumbaan Motosikal Mulai 2024 – Berhasrat Sertai WorldSBK

Selepas cemerlang mendominasi saingan Liga Super Malaysia selama 10 musim berturut-turut, kini Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dimiliki oleh DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) tampil mengumumkan melebarkan sayapnya dalam bidang sukan lain iaitu menceburi arena perlumbaan motosikal.  

Menerusi makluman oleh kelab berjulukan Harimau Selatan itu sendiri semalam, JDT mengumumkankan menceburi arena itu bersama pelumba terkenal negara, Hafizh Syahrin yang berusia 29 tahun menerusi entiti yang diberikan nama JDT Racing Team.

Difahamkan, JDT Racing Team akan bermula pada tahun hadapan dengan menyertai siri perlumbaan yang berpangkalan di benua asia iaitu Asian Road Racing Championship.

Pada masa yang sama, mereka turut mengimpikan untuk bersaing dalam siri perlumbaan motosikal bertaraf dunia iaitu Superbike World Championship (WorldSBK) pada masa akan datang.

Baca: 10 Kemenangan Terbesar JDT Sepanjang 2023

Baca: Selepas Tubuh Skuad Futsal, JDT Rancang Wujudkan Pasukan Bola Sepak Wanita

Jenama JDT telah pun menceburi bidang futsal, polo, tinju dan hoki ais, dan usaha terbaharu ini disasarkan akan mengembangkan lagi jenama JDT kepada khalayak global dan membuka pintu kepada lebih banyak kerjasama dengan syarikat-syarikat antarabangsa.” tulis kenyataan kelab.

Untuk makluman semua, ketika ini Hafizh yang merupakan kelahiran Selangor sedang beraksi dalam saingan WorldSBK bersama-sama pasukan Petronas Mie Racing Honda Team menggunakan jentera Honda CBR1000 RR-R.

Selepas berlangsungnya sepuluh perlumbaan pada musim ini, Hafizh kini berada di kedudukan ke-21 daripada keseluruhan 27 pelumba dengan kutipan sepuluh mata.

Sebelum ini, Hafizh pernah mencuri tumpuan peminat perlumbaan motosikal tempatan apabila membuat kemunculan dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bersama Monster Yamaha Tech 3 dan Red Bull KTM Tech 3 pada musim 2018 dan 2019 masing-masing. Selain itu, Hafizh turut sama pernah beraksi dalam kancah Moto2.

komen