JDT Terus Berjimat Dengan Lepaskan Penyerang Argentina-Itali
January 8, 2024 Hafizuddin Omar

Proses penjimatan yang dilakukan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang saingan Liga Malaysia 2024-25 tidak terhenti dengan melepaskan Esteban Solari (ketua jurulatih), beberapa individu di dalam barisan kejurulatihan, enam pemain senior serta meminjamkan lima pemain ke kelab lain.

Terbaru, kelab berjulukan Harimau Selatan yang baru sahaja meraih gelaran “double treble” meneruskan proses tersebut dengan melepaskan salah seorang penyerang prolifiknya iaitu Fernando Forestieri.

Ini selari dengan makluman oleh pemiliknya, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) bahawasanya ramai lagi akan keluar daripada JDT dan tidak terhad kepada senarai awal yang telah diumumkan itu.

Baca: SSI Jarang Penuh Biarpun Tiket Hanya RM10 Paksa JDT Berjimat?

Sementara itu, pengesahan pelepasan Forestieri yang berusia 33 tahun berkelahiran Argentina disamping mempunyai pasport Itali itu hadir menerusi hantaran yang mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya di pelbagai platform media sosialnya.

JDT ingin mengucapkan terima kasih kepada Fernando Forestieri atas sumbangannya kepada Harimau Selatan sejak menyertai kelab pada permulaan musim 2022.” tulis kenyataan kelab.

Sebagai rekod, Forestieri yang berhijrah menyertai JDT selepas meninggalkan kancah bola sepak Itali telah tampil sebanyak 69 kali dalam pelbagai pertandingan samada domestik mahupun antarabangsa.

Baca: 10 Kemenangan Terbesar JDT Sepanjang 2023

Ketajaman Forestieri di hadapan gawang membolehkannya merekodkan 47 gol selain mencipta 21 bantuan gol sekaligus membantu JDT merangkul trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Piala FA, Piala Malaysia dan kejuaraan Liga Super bagi musim 2022 dan 2023 berturut.

Untuk makluman, Forestieri menjadi pemain ketujuh dilepaskan JDT selepas Aidil Zafuan, S. Kunanlan, Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo.

Manakala Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Haziq Nadzli dan Oscar Arribas pula dilepaskan untuk dipinjamkan kepada kelab-kelab lain.

Komen