Polis Lanjut Kontrak Pemain Jepun-Brazil Selama Setahun
January 9, 2024 Hafizuddin Omar

Juara Challenge Cup 2023, Kelab Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) akan terus mempertaruhkan pemain Jepun-Brazil iaitu Bruno Suzuki di bahagian serangannya untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25.

Ini selepas skuad berjulukan The Cops itu mengesahkan menerusi pelbagai platform media sosialnya melanjutkan kontrak penyerang berusia 33 tahun terbabit selama setahun.

Sepanjang musim 2023, Bruno bukan sahaja menjadi taruhan utama buat PDRM dengan merekodkan 30 penampilan bahkan muncul selaku penjaring terbanyak The Cops – 11 gol.

Baca: Penyerang Kacukan Jepun-Brazil PDRM FC Peluk Agama Islam

Jumlah gol yang disumbat Bruno itu bukan sahaja membantu PDRM menjulang Challenge Cup berformat baharu bahkan turut meletakkan skuad bimbingan Datuk Yunus Alif di tangga kelapan Liga Super sekaligus meraih ganjaran sebanyak RM850,000.

Sebagai tambahan, Bruno kembali menyertai kancah bola sepak tanah air bersama PDRM pada penghujung Januari 20223 setelah meninggalkan Bangkok FC.

Sebelum itu, Bruno telah beraksi dalam kancah bola sepak tanah air sejak musim 2017 dengan Negeri Sembilan FC, Terengganu II dan juga PDRM sebelum berhijrah ke Thailand.

Terdahulu, PDRM turut mengesahkan mengekalkan dua pemain importnya iaitu pemain tengah kebangsaan Jordan, Fadi Awad serta pertahanan kebangsaan Kyaw Min Oo.

Featured Image: PDRM Football Club

Komen