Artikel

Beregu Lelaki No.2 Negara Tak Sertai BATC 2024

Tiada kelibat beregu lelaki No.2 negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City dari 13hb hingga 18hb Februari kelak.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh kedua-dua pemain berusia 28 dan 30 tahun masing-masing ketika ditemui selepas perlawanan menentang wakil Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi baru-baru ini.

Ini sama seperti edisi lalu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City dimana Yew Sin-Ee Yi yang berstatus bebas (independent) tidak turut serta bersama skuad lelaki Malaysia yang akhirnya berjaya menjulang trofi kejuaraan buat julung kalinya.

Terbuka Malaysia: Juara Dunia 2021 Tamatkan Kempen Yew Sin-Ee Yi

Sebagai rekod, kali terakhir gandingan Yew-Sin Ee Yi dilihat beraksi bersama skuad lelaki Malaysia dalam saingan BATC adalah pada edisi 2020 yang berlangsung Manila, Filipina.

Dalam edisi terbabit, kehadiran Yew Sin-Ee Yi membantu skuad lelaki Malaysia menamatkan saingan itu selaku naib juara.

Sementara itu, kelibat beregu lelaki No.1 negara yang berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Aaron Chia dan Soh Wooi Yik juga tidak dapat dipastikan samada akan menyertai skuad lelaki Malaysia untuk beraksi dalam saingan BATC 2024.

Baca: Lee Zii Jia Sahut Panggilan BAM Sertai Skuad BATC 2024

Setakat ini, perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia yang berstatus bebas (independent) mengesahkan telah menerima jemputan BAM untuk menyertai skuad lelaki Malaysia bagi beraksi dalam saingan BATC.

Untuk makluman, ketika muncul juara dalam edisi lalu, skuad lelaki Malaysia dibarisi enam perseorangan iaitu Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong.

Manakala beregu lelaki pula disertai oleh Aaron-Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen