Saingan futsal domestik iaitu Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 bagi kategori lelaki akan membuka tirainya pada 17 Februari kelak.
Pengesahan tarikh permulaan saingan terbabit hadir menerusi penganjurnya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya selepas mengadakan taklimat pasukan, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, saingan Divisyen 1 itu akan ditandingi oleh lapan buah pasukan sahaja berbanding perancangan asalnya sebanyak sepuluh buah pasukan sepertimana dimaklumkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Kesembilan, sekitar awal November lalu.
View this post on Instagram
Baca: Saingan MPFL 2024 Kategori Lelaki Mempunyai Dua Divisyen
Bagaimanapun tiada perincian mengenai lapan buat pasukan yang akan menyertai saingan MPFL Divisyen 1 dikongsikan oleh penganjur setakat ini.
Untuk makluman semua, pada mesyuarat eksekutif awal November lalu, FAM memaklumkan saingan MPFL 2024 bagi kategori lelaki akan dibahagikan kepada Divisyen 1 dan Divisyen 2.
Divisyen 1 akan menempatkan sepuluh buah pasukan (profesional) terbaik MPFL 2023 manakala Divisyen 2 pula akan disertai baki pasukan MPFL 2023 bersama-sama pasukan-pasukan baharu.
Sebagai rekod, kedua-dua saingan MPFL serta Piala Futsal Malaysia (MFC) musim lalu dimenangi oleh pasukan berpangkalan di pantai timur, Pahang Rangers FC.
Baca: Pahang Rangers Raih Kejuaraan Berganda Selepas Julang Trofi Piala Futsal Malaysia